Campbell Minat Latih Harimau Malaya


KUALA LUMPUR  - Walaupun ranking pasukan Malaysia merudum ke tangga 174 dunia, masa depan bola sepak Malaysia dilihat masih cerah sehingga menarik minat bekas pertahanan tengah England, Sol Campbell untuk membimbing pasukan negara pada masa akan datang.

Dia yang berhasrat untuk menjadi seorang jurulatih pada masa akan datang mensasarkan mahu membimbing pasukan negara Asia.

“Pastinya saya berminat untuk menjadi jurulatih pada masa akan datang, mungkin memulakan karier itu dengan membimbing negara-negara di Asia. Mungkin jurulatih atau penasihat di Malaysia juga, apa salahnya.. Ia meluaskan lagi pilihan saya,” katanya kepada pemberita dalam sesi soal jawab di panggung wayang TGV, Sunway Velocity Mall semalam.

Campbell, 43 tahun, turut memberi pandangan bahawa sasaran yang ditetapkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin untuk melihat Malaysia layak beraksi di Piala Dunia 2050 adalah sesuatu yang realistik.

Tambahnya, sekiranya sasaran itu mahu direalisasikan oleh Malaysia, maka pembangunan dan persediaan rapi perlu dilakukan bermula sekarang.

“Tumpuan harus diberikan di peringkat akar umbi bagi membentuk sebuah pasukan yang mampu membawa cabaran Malaysia ke peringkat tertinggi itu.

“Saya tidak melihat perkara itu tidak mampu dicapai, mungkin mampu dicapai dengan lebih cepat daripada tempoh yang ditetapkan. Ya... ia realistik kerana untuk mencapai ke tahap tertinggi, persiapan dan perancangan yang terbaik perlu dilakukan dengan teliti,” jelasnya.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com