Bunuh: Pemilik Kereta Terbakar Di Sungai Petani Ditahan Reman


ALOR SETAR - Seorang tukang masak yang merupakan pemilik kereta Perodua Axia yang terbakar kelmarin ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang pengutip hutang di Taman Arked, Sungai Petani kelmarin.

Suspek yang juga merupakan kenalan mangsa berumur dalam lingkungan 20-an itu ditahan sebaik dipanggil memberi keterangan di Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Muda kira-kira pukul 8.30 malam ekoran penemuan keretanya yang terbakar di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Saifi Abd Hamid mengesahkan satu tangkapan telah dibuat ke atas pemilik kereta yang juga merupakan rakan kepada si mati.

“Kita menahannya untuk membantu siasatan kes terbabit dan mencari motif sebenar pembunuhan itu.

“Susulan itu suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 7 Disember ini bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.


Jelas Saifi, perintah reman dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Sungai Petani, Noor Lyana Ab. Rahim pagi semalam .

Perintah tahanan reman bermula hari ini 5 Disember 2017 sehingga 7 Disember 2017.

Dalam kejadian tersebut, mayat seorang lelaki ditemukan mati dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan tikaman pada dada, pipi dan tangan di belakang sebuah rumah teres di taman itu.

Mangsa yang berumur 20-an dan berasal daripada Nibong Tebal ditemukan oleh seorang suri rumah selepas terdengar suara mengerang kesakitan di belakang rumahnya pada pukul 3 petang.

Bagaimana pun mangsa didapati meninggal dunia sebaik sahaja polis tiba di lokasi kejadian.

Hasil siasatan turut mendapati sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dipercayai digunakan mangsa dan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu ditemukan terbakar di kawasan semak kira-kira 100 meter dari lokasi mayat. - Kedahnews.com


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com