Bukan Hilangkan Diri, Tapi Cuti Sakit - Farid Kamil


ALOR SETAR - Farid Kamil Bin Zahari, 36, menafikan khabar angin mengatakan beliau menghilangkan diri selama seminggu daripada set penggambaran Lafazkan Kalimah Cintamu.

Jelas anak jati Kedah ini, beliau kini masih bercuti sakit selepas dikatakan mengalami kecederaan akibat terkena hujan buatan ketika di set drama itu.

Menerusi drama tersebut, beliau menjayakan watak utama, Tengku Ryan, dan berlakon di samping Nelydia Senrose.

"Saya sebenarnya terpaksa bergegas ke hospital sejurus selepas mengalami gatal-gatal pada bahagian kaki, yang menyukarkan saya untuk memakai seluar. Justeru, cerita yang timbul mengatakan saya menghilangkan diri adalah tidak benar sama sekali.

"Sebagai pelakon, saya juga mempunyai hak untuk menitikberatkan aspek keselamatan dan kebajikan diri, apatah lagi kecederaan dialami ketika menjayakan adegan menggunakan hujan palsu. Bukan saya saja, malah Nelydia turut mengalami gatal-gatal seluruh badan.

"Bukan saya sengaja membuat cerita kerana sebelum ini, saya pernah menjayakan adegan dalam hutan dan sebagainya. Cuma, saya tidak mahu ada sesetengah pihak yang memandang remeh soal keselamatan artis yang berlakon," katanya yang dipetik BH Online.

Farid berkata demikian ketika mengulas isu beliau dikatakan menghilangkan diri selama seminggu daripada set penggambaran drama 32 episod arahan Along Kamaludin untuk sebuah saluran berbayar itu.

Bintang filem Tombiruo itu ditemui ketika menghadiri majlis pelancaran Dewan Perniagaan Artis Dan Selebriti di Malaysia (DPA) di Hotel Royale Chulan Damansara, semalam.

Selain Farid, setakat ini lapan lagi selebriti sudah mendaftar sebagai ahli tetap DPA iaitu Bront Palarae, Hazama, Hafiz Suip, Akim, Stacy, Diana Danielle, Wan Hanafi Su dan Soffi Jikan.

Mengulas lanjut, DPA ditubuhkan untuk menghimpunkan golongan selebriti yang mempunyai minat serta kesungguhan untuk bergelar usahawan berjaya dan berintegriti, dengan bimbingan dalam perniagaan berskala besar. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com