Budak Kampung Dihina "Jakun" Dari Kedah Syukur Dimurahkan Rezeki


ALOR SETAR - Jurusolek wanita yang dikecam di laman sosial berikutan tindakannya membuat tutorial solekan dari Kota London dan Paris, bulan lalu bersyukur kerana rezekinya bertambah murah selepas insiden terbabit.

Siti Nurfarahain Zakaria, 29, yang merupakan anak jati Kedah, berkata meskipun mengakui agak sedih apabila dikecam hebat apabila dituduh sebagai budak kampung yang 'jakun' ketika membuat tutorial itu, namun dia sama sekali tidak menyangka insiden berkenaan mendatangkan hikmah buat dirinya.

Lebih mesra dengan panggilan Farahain, selepas peristiwa itu, beliau yang mempunyai 'School Of Makeup' ini semakin dikenali sekali gus menjadi pilihan wanita yang ingin mempelajari asas persolekan.


"Mula-mula saya akui agak terkesan dan sedih apabila mendapat tahu video yang saya rakam menampilkan tutorial solekan ketika bercuti di Kota London dan Paris, akhir Oktober lalu menerima kecaman melalui ruangan komen.

"Namun, saya enggan untuk terus tunduk dengan kecaman itu, sekali gus menjadikan ia pemangkin semangat saya terus melakukan tutorial solekan bagi pengikut kerana mahu membantu wanita tampil cantik, " katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Terdahulu, Farahain mula dikenali selepas video ''live'' di Facebook yang berdurasi 25 minit menampilkan dirinya melakukan tutorial solekan berlatarbelakangkan Menara Eiffel dan Kota London dikecam hebat netizen dengan menuduhnya sebagai 'Budak kampung dari Kedah jakun di Kota London'.


Malah, Farahain yang berasal dari Taman Wira Mergong, dekat sini, turut dituduh sebagai menjatuhkan maruah negara selain menggunakan duit orang ramai dengan pergi bercuti ke luar negara.

Menceritakan semula insiden itu, Farahain berkata, beliau tidak mengetahui aksinya dikecam sehingga beliau dan suami pulang dari bercuti.

Tambahnya, dia terkejut apabila membaca cerita mengenai dirinya melalui blog tempatan seminggu selepas pulang dari bercuti.

"Semasa saya buat video tutorial itu, saya tidak membaca komen dan hanya menyedari bahawa aksi saya dikecam ketika pulang dari bercuti...namun sebenarnya lebih ramai yang menyokong saya daripada mengecam, " katanya yang dipetik dari BH Online.

Namun, dia yang tidak serik meskipun dikecam, Farahain mengimpikan untuk membuat tutorial solekan dari Korea pula selepas ini.

Percaya ada hikmah disebalik kejadian itu, Farahain akan melancarkan program 'Jalan-jalan Mai Mekap' di akaun Facebook, 'School of Makeup-by Siti Nurfarahain' yang menampilkan dirinya melakukan tutorial solekan daripada tempat menarik di seluruh negara.

Farahain yang mempunyai 946,078 pengikut di Facebook turut menambah, selain menampilkan aksi solekannya, program ini juga akan mempromosikan tempat pelancongan dari seluruh negara.

Bukan itu sahaja, dia yang mengajar solekan di studio miliknya di Sungai Baru Gunung sejak 2015 kini akan menjelajah ke seluruh negara bagi tujuan itu dengan mengenakan yuran bermula RM150-RM350 bagi setiap peserta. -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com