Bekas Presiden Yaman Maut Dibedil Houthi Syiah


BEKAS presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh disahkan terbunuh akibat serangan pemberontak tempatan, Houthi Syiah di pinggir ibu negara tersebut, Sanaa semalam.

Agensi berita antarabangsa Reuters melaporkan, pegawai dalam parti General People’s Congress (GPC) pimpinan Ali mengesahkan allahyarham terbunuh akibat serangan militan, termasuk pelancar bom tangan.

Turut terbunuh Penolong Setiausaha Agung GPC, Yasser al-Awadi.

Sumber pemberontak Houthi yang disokong Iran menyatakan, militannya berjaya memberhentikan kenderaan berperisai membawa Ali Abdullah dengan bedilan pelancar bom tangan sebelum menembaknya mati.

Laporan lain menyebut Kementerian Dalam Negeri Yaman yang dikuasai pemberontak Houthi turut mengumumkan ‘pembunuhan’ Ali dengan video tersebar memaparkan mayat yang dikatakan pemimpin berkenaan.

Pembaca berita televisyen milik pemberontak, Al-Masirah berkata: “Kementerian mengumumkan tamatnya krisis militan dan pembunuhan pemimpin mereka serta sejumlah penyokong.”

Video yang tular menerusi media sosial menunjukkan mayat jenazah Ali hanya dibungkus dengan selimut dan ada kesan kecederaan teruk di bahagian kepalanya.

Hari ini, pesawat Arab Saudi membedil kedudukan Houthi untuk hari kedua berturut-turut bagi menyokong Ali yang sebelum ini bersekutu dengan pemberontak berkenaan tetapi mengumumkan bekerjasama menentang mereka dalam perang saudara itu.

Kempen serangan udara diketuai Arab Saudi itu disokong Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara Barat, membunuh ratusan orang awam, namun gagal mengembalikan kuasa kepada presiden negara itu yang diiktiraf dunia, Abedrabbo Mansour Hadi, sejak perang tiga tahun lalu.

Ali meletak jawatan ketika revolusi kebangkitan Arab Spring 2011 selepas memerintah Yaman selama 33 tahun.

Beliau sebelum ini menyokong Houthi yang menentang Abedrabbo, namun akibat perebutan kuasa, Ali mengumumkan tidak lagi sepakat dengan Houthi.

Sumber: Metro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com