Bantahan Solat Sebelum Pulang Sekolah Sebagai Emosional


KUANTAN - Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB)  menyifatkan sebagai emosional bantahan Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim terhadap arahan mewajibkan pelajar Islam sekolah di daerah Kuantan solat Zohor berjemaah sebelum pulang.   

Presidennya, Datuk Mohd Sabri Mohd Arshad berkata, bantahan itu dibuat tanpa memahami secara mendalam tentang perkara berkenaan.

“Sepatutnya perkara ini disokong oleh semua pihak kerana ia membantu membentuk keperibadian pelajar, malah saranan itu adalah bertepatan dengan tuntutan agama Islam sendiri yang mewajibkan penganutnya solat lima waktu.

“Lebih-lebih lagi jika boleh melakukannya secara berjemaah, sudah pasti ia lebih baik dan ini juga merupakan sebagai persediaan kepada pelajar untuk menjadi pemimpin... mereka juga akan dilatih sebagai imam atau bilal oleh ustaz sekolah masing-masing bertepatan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)," katanya ketika dihubungi di sini, kelmarin.

Mohd Sabri juga berkata arahan itu tidak menjejas pelajar yang menganut agama lain.    

Rabu lalu, Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan meminta semua pelajar sekolah di daerah itu menunaikan solat berjemaah sebelum pulang ke rumah dalam usaha memperkukuhkan ketahanan diri pelajar selain mengelak mereka daripada terlibat dalam gejala sosial. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com