Baitulmaqdis : PM Dihubungi Erdogan, Pemimpin Dunia


KUALA LUMPUR - Tentangan UMNO terhadap keputusan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel bukan umpanan untuk meraih sokongan politik.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata pada asalnya keputusan untuk menyuarakan nada keras dan tekad itu tidak terkandung dalam ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, katanya, tindakan yang diambil secara spontan itu berlaku selepas Perdana Menteri mendapat panggilan daripada beberapa pemimpin dunia Islam, semalam.

"Perkara ini dibangkitkan dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, malam tadi. Sebenarnya PM (Perdana Menteri) dihubungi pemimpin luar, antaranya Erdogan (Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan) semalam.

"Oleh itu, kita mengadakan perbincangan tergempar di peringkat kepemimpinan tertinggi kerana isu ini menimbulkan kegusaran negara Islam terhadap keputusan pentadbiran (Presiden AS) Donald Trump).

"MT akhirnya sepakat bahawa perkara ini perlu ditentang sekeras-kerasnya dengan meminda kandungan ucapan dasar Presiden (UMNO) pada saat-saat akhir," katanya ketika melawat Laman Media BH di Aras 4 Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, sebentar tadi.

Semalam, Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel selain mengambil tindakan memindahkan kedutaan besar negara itu ke wilayah bergolak berkenaan dari Tel Aviv.

Sehubungan itu, Annuar berkata dakwaan kononnya tindakan menolak keputusan AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel untuk meraih sokongan politik termasuk daripada PAS adalah tidak berasas.

Katanya, pendirian sedemikian melangkaui batasan politik kerana ia berkaitan kepentingan dan akidah Islam, selain masa depan manusia sejagat.

"Siapa lebih penting? PAS atau umat Islam? Ini soal Palestin, bukan Terengganu atau mana-mana negeri. Baitulmaqdis adalah tempat suci.

"Ia adalah tanggungjawab umat Islam untuk dipertahankan dan kita tidak seharusnya bersikap apologetik apabila mengambil keputusan menentang cadangan AS.

"Pendirian ini dilakukan tanpa sempat berunding dengan parti komponen pun, apatah lagi PAS seperti yang pernah dilakukan dalam isu Rohingya sebelum ini," katanya.

Annuar turut menyuarakan kebimbangan keputusan AS itu bakal mencetuskan ketegangan, sekali gus menyuburkan gerakan penentangan secara senyap atau bawah tanah.

Katanya, tindakan itu antara lain berupaya menimbulkan ketidakseimbangan di rantau Asia Barat dan meningkatkan risiko pertumpahan dasar pada skala global.

"AS nak kita menentang keganasan, tetapi mereka seolah-olah menyimbah petrol terhadap api yang kian marak dengan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.

"Kita kena suarakan pendirian tegas mengenai perkara ini dan jangan biarkan masyarakat dunia membisu dalam mempertahankan kesucian Baitulmaqdis.

Sementara itu, Ahli MT UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata pendirian Najib selaras dasar pragmatisme kerajaan dalam pelbagai isu antarabangsa.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Luar, berkata keputusan negara 'Uncle Sam' berkenaan bercanggah dengan Resolusi 2334 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

"Kita akan selesaikan isu ini dengan meraih sokongan komuniti dunia, malah saya dimaklumkan Rumah Putih tidak mendapat persetujuan secara konsensus dalam mengenai isu Baitulmaqdis, termasuk tentangan daripada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI)," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com