Aktor Veteran Bollywood Kegemaran Orang Kedah, Shashi Kapoor Meninggal


MUMBAI – Pelakon ikon veteran terkenal Bollywood kegemaran orang Kedah, Shashi Kapoor, yang pernah muncul dalam 116 judul filem, menghembuskan nafas terakhirnya dalam usia 79 tahun di sini pada Isnin.

“Mendiang disahkan meninggal dunia pukul 5.20 petang pada 4 Disember di Hospital Kokilaben Dhirubhai Ambani selepas sehari dimasukkan,” dedah Dr. Ram Narain, pengarah eksekutif hospital berkenaan di Versova di sini.

Dalam petikan laporan portal Indian Express, legenda filem Hindi itu yang pernah menjadi produser dan sutradara; dilaporkan dimasukkan ke hospital berkenaan pada Ahad malam, bagi menjalani rawatan jangkitan paru-paru.

Aktor tersebut pernah bertarung dengan keadaan serupa pada tahun 2014, selepas menjalani pembedahan pintas. Shashi Kapoor meninggalkan anak perempuan, Sanjana Kapoor serta dua anak lelakinya iaitu Kunal dan Karan.

Merupakan anak Prithviraj Kapoor dan Ramsarni Kapoor serta adik lelaki bongsu kepada Raj Kapoor dan Shammi Kapoor, menurut media tempatan, mendiang pertama kali berlakon dalam filem Dharmputra pada tahun 1961 lalu.

Dilahirkan dengan nama Balbir Prithviraj Kapoor di Calcutta (kini Kolkata) di wilayah Bengal pada 18 Mac 1938, beliau pernah menjadi bintang filem ‘pecah panggung’ iaitu Deewaar, Kabhi Kabhie, Aa Gale Lag Jaa dan Trishul.

Ramai orang Kedah memenuhi panggung wayang bagi menyaksikan aktor dan aktress bollywood kesayangan mereka beraksi di era tersebut, termasuk Sashi Kapoor di layar perak.

Mendiang berkahwin dengan aktres British, Jennifer Kendal pada 1958 lalu setelah dua tahun mereka berkenalan sehingga isterinya itu meninggal dunia di London pada 1984 akibat kanser. – Agensi

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com