Aktivis PAS Bandingkan Mukhriz Dengan Arwah Ustaz...


ALOR SETAR - Mereka yang menyokong Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir, dianggap sebagai 'buta' dan masih mentah untuk menilai retorik politik yang dihidangkan bekas Menteri Besar Kedah itu.

Malah pencapaian Mukhriz ketika hampir tiga tahun menjadi Menteri Besar di negeri ini juga dikatakan gagal dan langsung tidak dapat menandingi pencapaian bekas Menteri Besar sebelumnya, Allahyarham Tan Sri Azizan Razak.

Seorang aktivis PAS yang enggan dikenali berkata, Mukhriz hanya berjaya meraih populariti semata-mata di mata rakyat, namun dikatakan gagal menunaikan tanggungjawab dan keperluan orang ramai, termasuk golongan muda di negeri ini.

"Apa yang dia buat selama 3 tahun? Dia berjaya beri kerja kepada anak-anak muda kita? Ada dia jaga kebajikan kita? Jalan raya lubang sana sini, ada dia ambil tahu? Berapa kerat orang kampung yang dia jengok?

"Yang dia tahu selfie, ambil gambar merata saja. Konon orang sokong dia. Memang dia popular, tapi popular dia tu boleh bagi kita rakyat ni makan?

"Berbeza sangat dengan arwah Ustaz Azizan. Arwah Ustaz dulu memang betul jaga kebajikan rakyat, terutama orang kampung. Sebab apa? Sebab arwah pun orang kampung jugak macam kita. Dia tolong permudah semua, cuma ada la seorang dua Exco masa tu buat 'tahana' kat arwah dulu.

"Arwah buat kampus KUIN di Kuala Ketil. Hutang pun hutanglah, janji dia buat. Tu Aman Central tu arwah yang buat, tapi Mukhriz sedap ja pi rasmi? Cuba banding jalan kat Sungai Limau dengan Ayer Hitam, beza jauh...," katanya membezakan antara dua pemimpin itu.

Katanya, kebanyakan kerja yang melibatkan Kerajaan Negeri rata-ratanya dilakukan oleh Exco Kerajaan Negeri namun Mukhriz "bijak" mengambil kredit atas usaha tersebut berbanding arwah Ustaz Azizan yang sanggup turun padang bersama Exconya.

Mukhriz juga dikatakan lebih kerap berulang alik ke ibu negara hampir setiap minggu ekoran keluarganya yang menetap di sana berbanding memilih untuk berada bersama rakyat di masa terluang khususnya di hujung minggu.

"Yang buat kerja tu beberapa kerat Exco dia saja. Lepas tu dia pi rasmi, ambik nama. Konon itu kerja dialah? Lembu punya susu, sapi dapat nama?

"Pantang hujung minggu, dia hilang. Susah sangat ke nak dok di Kedah ni? Awat tak suruh anak isteri mai dok di Kedah? Berapa kali dia pi jengok Ayer Hitam dalam sebulan? Pi tanya orang Jerlun, tanya orang UMNO kat situ pun takpa

"Nak jadi MB Kedah, kena dok di Kedah la. Kalau nak jadi Menteri, boleh la ulang alik macam tu tiap-tiap minggu. Tanggungjawab Adun dan Ahli Parlimen berbeza. Apatah lagi dia tu MB. Kalau MB, buat la cara MB, bukan cara Menteri," ujarnya.

Mengulas mengenai sokongan yang kononnya diperoleh Mukhriz di media sosial, ia mengundang ketawa aktivis PAS tersebut.

"Hangpa pi percaya pada Facebook tu sangat pasai apa? Yang sokong dia tu pun bukan reti seperkara. Bukan dok di Kedah macam kita ni pun. Depa bukan tau apa yang berlaku, susah senang orang kampung kat Kedah ni mana depa tau.

"Ramainya orang luar, dak pun budak Kedah tapi tak reti menilai, kira nak syok saja. Ramai jugak cybertroopers yang jadi 'macai' dia. Makan 'dedak' kot?

"Kalau depa fikir elok-elok, secara waras dan rasional, depa akan dapat menilai dengan baik. Arwah Ustaz dulu ada kekurangan, tapi Mukhriz ni lebih banyak kurangnya dari arwah. Tu pun depa sokong? Sembang ja deraihhhh.." katanya sambil ketawa.

Menurut aktivis PAS tegar itu, dia berpandangan bahawa jika dibandingkan prestasi Mukhriz dengan Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sekalipun, Mukhriz masih lagi ketinggalan di belakang.

"Kurang-kurang, Ahmad Bashah tu tau jaga kebajikan. Kami orang PAS pun dapat tong Barakah tu. Dia bagi sama rata. Ayaq takdak, dia hingaq kat SADA. Kalut SADA buat kerja ma hantaq ayaq. Bola pun aku tengok okey ja, dua tiga kali masuk final Piala Malaysia.

"Tu tera Mukhriz dok kutuk dia lena tu. Kalau dia celik lagu (macam) arwah Ustaz Azizan, jenoh la Mukhriz nak lawan. Taktau la tahap mana pendidikan Bashah, tapi kalau dia tahap SPM pun, malulah orang ada ijazah pun tergolek dia jatuhkan...

"Bashah ni kurang-kurang betul orang Kedah. Tau balut rokok daun, tau turun pi kedohoq. Dia kenai orang kampung merata, orang PAS pun dia kenal. Mukhriz? AJK Bahagian dia sendiri pun dia tak kenal, dah tu lagu mana?," ngomelnya lagi.

Dia turut berpandangan bahawa Pakatan Harapan Kedah pimpinan Mukhriz hanya indah khabar dari rupa.

Katanya, kebenaran di sebalik pandangannya itu hanya akan dapat dijawab pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang dijangka berlangsung kurang dari empat bulan dari sekarang.

"Nak tau betul atau tidak, tunggulah dalam tiga empat bulan ni. PRU ke-14, hangpa dapat jawapannya," katanya sebelum mengakhiri perbualan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com