AADK Serbu Tiga Rumah Sarang Dadah Di Sekitar Pendang


ALOR SETAR - Seramai tiga puluh penagih dadah ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah Pendang dalam operasi bermula semalam hingga awal pagi hari ini di tiga rumah dijadikan sarang melepaskan gian.

Operasi bermula 3 petang hingga 3 pagi itu diadakan di Kampung Guar Kepayang, Kampung Kubang Jelai dan Kampung Pondok Haji Hussain di daerah Pendang.

Menurut Pemangku Ketua Pegawai AADK daerah Pendang, Nazir Kassim berkata, operasi itu diadakan hasil maklumat daripada orang awam dalam usaha membanteras dadah daripada menular di kalangan remaja.


Ujarnya, 14 anggota AADK Pendang, Padang Terap dan Unit Antidadah Sempadan Bukit Kayu Hitam yang diketuai ketua operasi Mohd Hafiz Mansor menyerbu tiga rumah dijadikan sarang penagihan dadah.

"Dalam serbuan itu, kita menahan 31 orang berusia 18 hingga 56 tahun disyaki penagih dadah yang bekerja sebagai penoreh getah, pesawah dan mekanik.

"Bagaimanapun hasil ujian air kencing hanya 30 orang positif dadah jenis opiat dan methamphetamine manakala seorang lagi dibebaskan selepas negatif dadah.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah ( Rawatan & Pemulihan ) 1983.- Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com