87 Petani Rugi Padi Ditenggelami Banjir


PADANG BESAR – Seramai 87 petani di enam kampung di Beseri dekat sini, mengalami kerugian lebih RM189,000 apabila sawah mereka ditenggelami banjir.

Lebih 108 hektar kawasan sawah bawah pengendalian Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Beseri terbabit iaitu di Kampung Padang Malau, Darat, Belukar, Beseri Dalam, Guar Jentik dan Padang Gelam dekat sini.

Pengurus Besar PPK Beseri Faizul Mat Hassan berkata banjir berlaku ekoran hujan lebat di kawasan terbabit sejak tiga hari lalu, menyebabkan air memasuki kawasan kampung dan sawah melebihi satu meter.

Beliau memberitahu kerugian tersebut terpaksa ditanggung petani kerana telah mengeluarkan belanja untuk membajak, pengendalian kawasan dan upah tenaga kerja di sawah.

“Ini tidak termasuk kos subsidi benih padi, baja dan racun rumput yang ditanggung oleh kerajaan,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Faizul berkata kebanyakan pokok padi yang ditenggelami air sudah berusia antara 65 hingga 80 hari dan dalam beberapa minggu sahaja lagi, ia akan mengeluarkan buah.

Katanya oleh kerana air di dalam sawah bertakung dan hujan masih turun, dikhuatiri semua pokok padi itu tidak dapat diselamatkan lagi.

“Pihak PPK Beseri menunggu arahan daripada pihak berkenaan untuk membuat bancian nilai kerugian sebenar supaya dapat dipanjangkan kepada ibu pejabat Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan pihak kementerian,” ujarnya.

Beliau berkata setiap petani yang terlibat dinasihatkan membuat laporan polis bagi mempermudahkan sebarang urusan lanjut. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com