4 Wanita Thailand Sembunyi Di Siling Elak Dicekup Di Mergong


ALOR SETAR - Gara-gara takut dicekup oleh penguatkuasa dalam Op Gegar sejak Rabu lepas, empat wanita Thailand sanggup bergadai nyawa dengan memanjat dan bersembunyi di siling sebuah premis urut di Persiaran Mergong di Alor Setar.

Pengarah Imigresen Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, kesemua taktik wanita itu bagaimanapun tidak berhasil dan berjaya diberkas hasil kecekapan anggota imigresen dalam operasi penguatkuasaan kira-kira empat jam yang berakhir 2.15 pagi kelmarin.

“Dalam serbuan di pusat urut itu, semua wanita itu bersembunyi di atas siling premis bagi mengelak daripada ditangkap, namun akhirnya ditahan selepas tindakan dapat dihidu.

“Mereka antara tujuh warga asing ditahan dalam serbuan berasingan di dua lokasi membabitkan 13 anggota imigresen atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Tambah Zuhair, dua lagi wanita Thailand bersama-sama seorang wanita tempatan berjaya  ditahan dalam serbuan kedua di premis urut yang turut berada di kawasan berdekatan.

Menurutnya, keenam-enam wanita berusia antara 27 hingga 43 tahun yang disyaki bekerja di premis urut menggunakan pas lawatan sosial ditahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu menyalahgunakan pas.

Tambahnya, seorang wanita tempatan berusia 39 tahun pula ditahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melakukan kesalahan dengan sengaja memberi perlindungan kepada mana-mana orang yang melanggar Akta Imigresen.

Kesemua mereka ditahan di lokap imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserahkan ke Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com