14 Rakyat Malaysia Kelihatan Seperti Pendakwah Islam Dilarang Ke India


GEORGE TOWN - Seorang pemilik kedai roti bakar di Pulau Pinang bersama 13 rakannya kecewa selepas dilarang memasuki India setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai, hanya kerana mereka “kelihatan seperti pendakwah Islam”.

Empat belas lelaki India Muslim dari Pulau Pinang itu berjanggut panjang, memakai jubah dan kopiah.

Mereka tiba di Chennai pada 10 malam Sabtu lalu (waktu India) dengan pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH180 dari Kuala Lumpur.

Kedai roti bakar terkenal milik Ahmad Ansari Abdul Jabbar di Jalan Phee Choon. Beliau bersama bapa dan datuknya pernah berniaga di Jalan Hutton.


Kedai roti bakar terkenal milik Ahmad Ansari Abdul Jabbar di Jalan Phee Choon. Beliau bersama bapa dan datuknya pernah berniaga di Jalan Hutton.

Ahmad Ansari Abdul Jabbar, 51, pemilik kedai roti bakar Hutton Lane yang terkenal, berkata mereka ke sana bukan untuk berdakwah, tetapi mahu melawat utara dan selatan India selama 2 minggu.

Katanya, perancangan awal adalah bermalam di Chennai dan terbang ke New Delhi pada tengah hari esok untuk memulakan lawatan ke bandar utara India.

Kumpulan rakyat Malaysia itu sepatutnya melawat Ajmer, New Delhi, Simla dan tarikan lain di utara selama seminggu, dan ke bandar di selatan India pada minggu ke-2.


Kumpulan 14 lelaki itu terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai selepas Jabatan Imigresen memaklumkan mereka tidak dibenarkan memasuki India atas arahan New Delhi.

Kumpulan 14 lelaki itu terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai selepas Jabatan Imigresen memaklumkan mereka tidak dibenarkan memasuki India atas arahan New Delhi.

“Apabila kami tiba di lapangan terbang, seorang pegawai imigresen di kaunter menyoal tujuan lawatan kami dan kami kata kami melancong secara berkumpulan.

“Kami kemudiannya diminta secara sopan untuk menemui seorang pegawai imigresen kanan. Beliau menyoal siasat kami selama 30 minit dan memaklumkan ‘kami terpaksa menghantar kamu semua pulang’.

“Apabila kami tanya mengapa, pegawai itu kata terdapat larangan ke atas pendakwah Islam, selepas kejadian di Haryana. Pegawai itu memberitahu kami arahan itu datang daripada kerajaan pusat di New Delhi.

“Kami beritahu mereka kami bukan pendakwah. Tetapi mereka tidak mempedulikannya.

“Kami tahu hak negara untuk melarang sesetengah orang memasuki negara itu. Tetapi adakah salah untuk menjadi pelancong Islam?

“Kerajaan India harus menjelaskan perkara ini,” katanya.

Ansari berkata, seorang pegawai imigresen India memaklumkan beliau dan kumpulan itu, mereka akan dihantar pulang ke Malaysia kerana tersilap visa.

“Kami pernah ke India banyak kali. Kami juga mendapatkan visa betul seperti yang ditentukan Perkhidmatan Visa India di Kuala Lumpur.

“Mengapa beri kami visa jika kami tidak dibenarkan memasuki negara itu?”

Ansari berkata, mereka terpaksa menunggu lebih 12 jam sebelum pesawat ke Kuala Lumpur berlepas pada 1.30 petang.

Katanya, mereka tidak dibenarkan membeli makanan dari lapangan terbang itu, tetapi boleh memesan makanan untuk dihantar dari sebuah restoran di luar lapangan terbang.

Beliau berkata, mereka terpaksa membayar RM3,500 setiap seorang kepada ejen pelancongan di Pulau Pinang untuk lawatan itu, termasuk tiket penerbangan, kos penginapan, pengangkutan dan makanan.

Katanya, wang itu “hangus” kerana semuanya sudah dibayar.

Seorang lagi ahli kumpulan itu, Mohamed bin Kassim, 58, berkata sekumpulan warga Afrika Islam yang berpakaian seperti mereka dan berjanggut juga dilarang memasuki India.

“Mereka berada di barisan lain dan turut dihalang memasuki India,” katanya.

Sumber: FMT

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com