Wartawan Malaysia Dimarah Sebut Nama Korea Utara


BANGKOK – Media Malaysia yang buat liputan perlawanan kelayakan Piala Asia antara Malaysia dan Korea Utara ‘diajar’ bagaimana untuk sebut nama negara komunis itu dengan betul.

Semasa sidang media sebelum perlawanan tersebut diadakan, seorang penterjemah bahasa Inggeris dari Korea Utara meminta media Malaysia untuk berhenti memanggil nama negara itu sebagai Korea Utara.

Sebaliknya ketika sidang media di Stadium i-mobile di Buriram dekat sini, mereka diarahkan untuk menggunakan hanya nama rasminya iaitu, Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK).

“Jangan panggil kami Korea Utara, tidak ada nama Korea Utara,” kata pegawai negara tersebut yang kelihatan marah apabila media Malaysia berulang kali merujuk negaranya sebagai Korea Utara.

Pegawai berkenaan sebelum itu mencelah soalan yang dikemukakan oleh petugas media Malaysia untuk membuat penjelasan mengenai nama rasmi negaranya yang dirujuk sebagai DPRK.

Dia bertindak sebagai penterjemah untuk kapten Korea Utara, Kim Yu Song pada sidang media itu, yang turut dihadiri ketua jurulatih pasukan, Jorn Andersen yang dilahirkan di Norway tetapi memegang kerakyatan Jerman.

Skuad Harimau Malaya akan bertemu Korea Utara sekali lagi pukul 7 petang Isnin (8 malam waktu Malaysia) di stadium berkecuali yang sama, selepas kekalahan 1-4 pada perlawanan pertama dua hari lalu.

Untuk rekod, hanya jiran Korea Utara, China merujuk nama sekutu politiknya itu sebagai DPRK termasuk di media massa manakala negara-negara lain termasuk Korea Selatan pula menyebutnya sebagai Korea Utara.

Perlawanan itu sepatutnya diadakan pada Mac lalu tetapi ditunda kerana hubungan diplomatik antara dua negara berikutan pembunuhan Kim Jong Nam di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2, pada Februari lepas.

Malah perlawanan itu yang sepatutnya di Pyongyang juga menjadi ‘mangsa’ kepada keadaan semakin buruk di Semenanjung Korea berikutan siri pelancaran peluru berpandu Korea Utara. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com