Warga Thailand Ditahan Miliki Pistol, Edar Dadah Di Langkawi


ALOR SETAR – Polis berjaya merampas sepucuk pistol jenis Browning dan lima butir peluru daripada seorang warganegara Thailand yang juga disyaki sebagai pengedar dadah dalam serbuan di sebuah stesen minyak Langkawi, tengah malam semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Dr Che Ghazali Che Awang berkata suspek turut memiliki dadah jenis heroin seberat 212 gram, syabu 87 gram dan ketamin 51 gram 

Serbuan yang dilakukan pada 12.01 tengah malam itu berjaya menahan suspek yang berusia 35 tahun ketika dia sedang mengisi minyak ke dalam sebuah kereta di stesen minyak berkenaan.

“Suspek cuba melarikan diri dan bertindak agresif namun berjaya diberkas dan senjata api itu ditemukan dalam beg sandang yang dibawanya,” katanya.

Beliau berkata ujian saringan awal juga mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan polis memohon perintah mahkamah untuk melanjutkan tahanannya bagi melengkapkan siasatan.

Che Ghazali berkata siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

“Bagi pemilikan senjata api, dia akan disiasat menerusi Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman hingga 14 tahun penjara dan enam kali sebatan,” katanya.

Siasatan awal mendapati suspek merancang mengedarkan dadah yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM25,000 itu di sekitar Langkawi sebelum dia diberkas.

“Ini merupakan kes pertama seumpama di Langkawi iaitu seorang suspek pengedar dadah bersenjata api berjaya diberkas. Kami akan meneruskan lagi siasatan bagi mengenal pasti jaringan edarannya di sini,” katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com