Wanita Bunuh Diri Kecewa Dapat Menantu Lelaki Pendek


SHANGQIU, CHINA -  Seorang wanita membunuh diri dengan terjun ke dalam sungai selepas kecewa kerana calon isteri anak lelakinya terlalu pendek.

Mayat wanita berusia 47 tahun itu ditemui di sebatang sungai di daerah Ningling di wilayah Henan baru-baru ini selepas dia dilaporkan terjun ke dalam sungai itu.

Melihat mayat wanita itu, suaminya yang terlalu sedih terjun ke dalam sungai, tetapi dia berjaya diselamatkan oleh anaknya dan polis.

Laporan awal sebelum ini mendakwa wanita itu membunuh diri kerana tidak mampu membeli hadiah perkahwinan untuk anaknya itu.

Jurucakap polis memberitahu, bakal menantu wanita itu meminta sebuah kereta baru sebagai hadiah tetapi pasangan berkenaan tidak mampu.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Ningling menafikan laporan itu dan memberitahu, wanita berkenaan membunuh diri kerana sebab yang lebih tidak masuk akal.

Pihak berkuasa dalam satu kenyataan memberitahu, wanita itu yang dikenali sebagai Lin pada mulanya bergaduh dengan anak lelakinya kerana calon isterinya terlalu pendek.

“Wanita itu tidak bersetuju anaknya berkahwin dengan kekasihnya kerana calon itu terlalu pendek.

“Dia mendesak anaknya membatalkan perkahwinan itu dan mengancam untuk membunuh diri sekiranya kehendaknya tidak dituruti.

“Namun, anaknya berkeras untuk meneruskan perkahwinan berkenaan menyebabkan wanita itu bertindak terjun ke dalam sungai,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, Lin yang kecewa menunggang motosikal ke sungai berhampiran rumahnya sebelum terjun untuk membunuh diri.-Agensi

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com