Vingada Bunuh Bola Sepak Malaysia, Harus Dipecat


KUALA LUMPUR - "Taktikal Vingada membunuh bola sepak Malaysia," kata pengkritik bola sepak tempatan, Serbegeth Singh yang mengaku kecewa dengan persembahan skuad Harimau Malaya apabila tumpas 1-4 kepada Korea Utara dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019 di Buriram, Thailand, semalam.

Serbegeth atau lebih popular dengan panggilan Shebby berkata, percaturan Vingada yang tidak menyenaraikan seorang pun tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam kesebelasan utama jelas menimbulkan kehairanan ketika khidmat mereka amat ditagih pada aksi penting itu.

Jelasnya, kegagalan bekas pengendali Arab Saudi itu menurunkan barisan terbaik tidak boleh dimaafkan lagi dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) harus memecat jurulatih dari Portugal itu.

"Selepas kekalahan kepada Korea Utara (1-4) dalam aksi pertama pada Jumaat lalu, sepatutnya beliau tidak harus kekal bersama pasukan.

"Apa yang lebih mengelirukan bukan saja keputusan taktikal beliau, malah Vingada masih lagi diberi harapan hingga ke perlawanan ini.

"Sejak beliau membimbing pasukan bukan saja kita gagal raih sebarang kemenangan, kita juga gagal menunjukkan persembahan yang baik. Jelas sekali Vingada tak berwibawa dan tak layak.

"Dengan kekalahan malam ini, pada saya Vingada sudah membunuh bola sepak Malaysia dan rasanya ini kekalahan paling memalukan selepas kekalahan 0-10 kepada UAE (Emiriah Arab Bersatu) dua tahun lalu," katanya.

Vingada yang mula mengambil alih pasukan daripada tangan Datuk Ong Kim Swee pada Mei lalu masih gagal meraih sebarang kemenangan dalam semua tugasan antarabangsa termasuk lima aksi Kumpulan B, Kelayakan Piala Asia selain dua perlawanan persahabatan.

Malah, kekalahan kali ketiga berturut-turut dalam kempen kelayakan itu selepas tewas 0-2 kepada Hong Kong dan 1-4 di tangan Korea Utara sebelum ini meletakkan Malaysia di tangga tercorot kumpulan dengan hanya sekadar meraih satu mata, sekali gus tersingkir.

"Selepas ini tentunya akan ada suara-suara yang menyatakan pemain kita tak cukup bagus dan sebagainya. Jadi saya mencabar mana-mana pihak tak kira jurulatih atau pentadbir untuk menyebut secara umum bahawa pemain-pemain kita tak bagus," katanya yang pernah bermain untuk negara sekitar tahun 80-an.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com