UMNO-PAS Tidak Perlu Tunggu Masyarakat Islam Hancur Baharu Hendak Bersatu


ALOR SETAR - UMNO Kedah yang akan membawa usul agama pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2017) minggu depan akan menekankan kewajipan umat Islam bersatu tanpa mengira pegangan politik masing-masing.

Perkara ini amat penting kerana umat Islam kini dicabar hebat di setiap sudut oleh parti politik dan NGO yang menentang usaha-usaha untuk memartabatkan umat Islam.

Naib Ketua Pemuda UMNO negeri, Mahadzir Abdul Hamid yang akan membawa usul itu berkata, umat Islam diperlecehkan kerana mereka berpecah-belah akibat fahaman politik yang berbeza..

Menurutnya kekuatan sesebuah parti Melayu/Islam amat bergantung kepada solidariti umat Islam itu sendiri bukan sahajabersatu  apabila berdepan cabaran tetapi hendaklah berlaku sepanjang masa.

" Parti pembangkang yang menentang Islam menjadi kuat, bukan kerana kekuatan parti itu tetapi kerana ahli dan penyokongnya bersatu," kata Mahadzir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Jeneri, Sik kepada Kedahnews hari ini. 

Sehubungan itu beliau mengajak ahli UMNO dan penyokong PAS untuk bersama berganding bahu apabila agama dan hak orang Melayu dan agama Islam cuba digugat yang datang dalam pelbagai bentuk sekarang ini..

" Sampai bila UMNO dan PAS hendak bersengketa? Kita tidak boleh menunggu sehingga masyarakat Islam sudah hancur baharu hendak bangkit bersatu, " kata Mahadzir merujuk konflik di negara-negara Islam Asia Barat yang hancur akibat rakyatnya tidak bersatu.

Sementara itu beliau berharap usaha-usaha murni yang diambi oleh kerajaan negeri Kedah bagi memperkasakan institusi masjid dan pendidikan Islam dicontohi oleh negeri-negeri lain.

Pemerkasaan institusi yang berkaitan dengan kepentingan umat Islam itu juga selari dengan langkah yang diambil oleh kerajaan Persekutuan seperti mana yang dibentangkan dalam Bajet 2018. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com