Tuan Haji Muhammad Said Tokoh Pertama Terbit Akhbar Melayu Di Kedah


Tuan Haji Muhammad Said Yan atau nama penuh beliau Tuan Haji Muhammad Said bin Penghulu Muhammad Taib dilahirkan di Anak Bukit, Alor Star, Kedah pada tahun 1877. Beliau mendapat pendidikan awal di Pondok Haji Mat Tamim, Anak Bukit. 

Kemudian beliau melanjutkan pelajaran agamanya di Sekolah Agama Hamidiah, Limbong Kapal, Alor Star. Seterusnya, beliau telah berusaha mendalami pelajaran agamanya di Mekah selama beberapa tahun. Setelah pulang ke tanahair, beliau berkahwin dengan Che Dun, iaitu anak saudara Pak Wan Sulaiman bin Wan Sidek, yang ketika itu menjadi Syeikhul Islam Negeri Kedah.

Beliau berpindah ke Titi Bakong, Yan dan mengajar agama dengan membuka kelas agama di rumahnya sendiri. Beliau mengajar berbagai-bagai pelajaran agama kepada orang-orang dewasa, termasuklah ilmu Tauhid, Fikah, Tasawuf, Hadis dan al-Quran. Pelajar-pelajar beliau datang dari merata-rata tempat di sekitar tempat tinggalnya.

Tuan Haji Muhammad Said dilantik menjadi Kadi di beberapa daerah di Negeri Kedah termasuklah sebagai Kadi Daerah Kuala Nerang, Kuala Muda dan Yan. Tetapi akhirnya beliau meletakkan jawatan sebagai Kadi . Setelah berkahwin buat kali ketiga, Tuan Haji Muhammad Said kembali menetap di Titi Bakong dan menyambung pelajaran kelas agamanya. 

Ketika itulah beliau mula berminat mempelajarai ilmu perubatan tradisional. Beliau mula mencatat segala ilmu perubatan dan mula mengubat beberapa jenis penyakit. Jadi, di samping mengajar agama, beliau mula menjadi bomoh.

Selain terkenal sebagai guru agama, beliau juga terkenal sebagai seorang tabib. Beliau boleh mengubati berbagai-bagai jenis penyakit. Beliau pernah membuat makjun, membuat minyak untuk penyakit kebas, lenguh, penat dan sebagainya, serta ubat-ubatan daripada akar-akar kayu. Tuan Hj. 

Muhammad Said juga telah menulis sebuah buku dengan tulisan tangan. Di dalamnya dicatatkan segala petua dan peraturan bagi mengubati segala jenis penyakit. Beribu-ribu jenis ubat dicatatkan di dalam buku itu. 

Tuan Hj. Muhammad Said juga dikenali sebagai "Tabib Haji Muhammad Said" kerana beliau banyak mengeluarkan berbagai-bagai jenis ubat untuk berbagai-bagai jenis penyakit, dan pada botol-botol ubatnya bercetak : 'Diperbuat oleh Tabib Haji Muhammad Said Yan'.

Tuan Haji Muhammad Said merupakan orang yang bertanggungjawab menerbitkan Akhbar Melayu yang pertama di Negeri Kedah Darul Aman. Akhbar tersebut diberi nama 'NUN' yang dikeluarkan pada 23 Februari, 1926 bersamaan 11 Syaaban, 1344. Tuan Haji Muhammad Said sendiri bertindak sebagai penerbit dan pengarang bagi akhbar yang bertulisan jawi itu. 

Akhbar tersebut yang hanya mengandungi 10 halaman, diterbitkan dua kali sebulan iaitu di awal dan pertengahan setiap bulan Hijrah. Di samping berita-berita tempatan, akhbar tersebut juga memuatkan rencana bersiri yang merangkumi persoalan agama, pengetahuan am, sejarah, ilmu pengetahuan dan sastera tradisional, khususnya cerita-cerita lisan dan syair. Bagaimanapun, akhbar NUN itu terhenti penerbitannya pada bulan November 1932.

Selain daripada meneruskan pengajaran di kelas agamanya serta menjadi tabib atau bomoh, Haji Muhammad Said juga menulis serta mengeluarkan berbagai-bagai risalah kecil berbentuk dakwah. 

Risalah-risalah tersebut berbentuk buku kecil dan dicetak dalam tulisan jawi yang mengandungi di antara 18 hingga 32 muka surat. Antara risalah yang dikeluarkan bertajuk 'Risalah Banyak-Banyak Syukur', 'Risalah Bicara Tertib Puasa Ramadan' dan 'Risalah Jika Tiada Hendak Sembahyang, Apakah Hendak Jadi?"

Isi risalah-risalah tersebut berbentuk nasihat dan dakwah agar seluruh kaum muslimin dan muslimat taatkan perintah Allah dengan mengerjakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Risalah-risalah tersebut dicetak mulai tahun 1951 hingga tahun 1958. 

Di bahagian belakang risalah-risalah tersebut terdapat nama-nama risalah lain yang ditulis oleh Tuan Haji Muhammad Said seperti "Perbendaharaan Mastika Bicara Asmaul-Husna", "Syirah Bardah", "Selusuh Memudahkan Perempuan Beranak", "Wirid-wirid Am", "Kucing Bertuah", "Talqin Bahasa Jawi", "Pati Rahsia", "Risalah Bunga Raya" dan "Mengapa Engkau Tidak Sembahyang?". Semua risalah tersebut dijual ke seluruh negeri-negeri di Malaysia Barat, (ketika itu Semenanjung Tanah Melayu).

Pada muka surat pertama atau kedua risalah-risalah tersebut terdapat 'pengesahan' yang dibuat oleh Tuan Haji Abdullah Pak Him - Mufti Pulau Pinang ketika itu yang juga selaku mudir di Sekolah Agama Dairatul Ma'arif Al-Wathoniah, Kepala Batas, Seberang Perai mengesahkan bahawa risalah tersebut tidak salah atau tidak menyeleweng dan perlu dibaca oleh orang ramai. 

Ini bererti Tuan Haji Muhammad Said telah mengirimkan semua risalah tulisannya kepada Tuan Haji Abdullah Pak Him terlebih dahulu sebelum dicetak untuk mendapatkan pengesahan tentang tulisannya itu.

Tuan Haji Muhammad Said meninggal dunia di Titi Bakong, Yan pada tahun 1962 dalam usia 85 tahun dan selamat dikebumikan di tanah perkuburan Yan, Kedah. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com