Tiga Sahabat Geng Pecah Rumah Sekitar Kuala Nerang Diberkas


ALOR SETAR - Tiga sahabat yang dipercayai aktif dalam kegiatan pecah rumah di sekitar kawasan Kuala Nerang ditahan polis dalam serbuan di sekitar daerah Padang Terap pada 25 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris berkata kesemua suspek itu berusia 19 hingga 21 tahun ditahan secara berasingan di rumah  masing-masing di Kampung Kuala Janing,  Kampung Bendang Raja dan Kampung Paya Terap di Kuala Nerang.

"Tangkapan bermula pukul 10 malam berdasarkan maklumat orang awam...dengan penahanan kesemua suspek ini, polis percaya dapat menyelesaikan lapan kes pecah rumah di Kuala Nerang dan tiga kes di Kubang Pasu yang dilaporkan sebelum ini," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap.

Kesemua suspek ditahan bersama dengan pelbagai jenis  barangan elektrik dan kemas bernilai RM10,000 yang dipercayai hasil dari kegiatan tersebut.

Siasatan mendapati kesemua suspek tidak bekerja dan hanya menjual hasil yang dicuri kepada kenalan rapat untuk duit poket mereka.

“Kesemua suspek yang ditahan ini kita dapati tidak mempunyai rekod lampau dan ujian air kencing mendapati mereka juga bebas dari dadah… berikutan itu mereka direman selama 14 hari bermula 25 Oktober lalu mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan curi,” katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com