Tiada Rekod Keganasan Rohingya Di Negara Malaysia


KUALA LUMPUR - Tiada sebarang rekod keganasan atau pelampau dikesan membabitkan etnik Rohingya di negara ini.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kasim, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memantau bagi memastikan elemen keganasan tidak menular dalam etnik itu.

"Setakat ini, tiada dikesan membabitkan unsur keganasan oleh etnik Rohingya. Bagaimanapun, pemantauan berterusan dilakukan bagi memastikan tiada elemen keganasan dilakukan oleh etnik Rohingya," katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, semalam.

Shahidan berkata, dari segi ancaman keselamatan negara, tiada data khusus atau rekod jenayah dilakukan Rohingya, memandangkan polis hanya merekod kes jenayah daripada warga asing mengikut negara, bukannya etnik.

"Bagi 2017, 83 kes jenayah dilakukan oleh warga asing. Secara umumnya, 78 kes daripadanya membabitkan warga Myanmar, iaitu merangkumi 30 kes jenayah kekerasan dan 48 kes jenayah harta," katanya.

Ketika menjawab soalan tambahan Datuk Kamaruddin Jaafar (PKR-Tumpat), Shahidan memaklumkan kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melakukan 'exchange of letters' dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

Langkah yang akan dimeterai dalam masa terdekat itu, katanya, diambil bagi membolehkan pihak berkuasa negara ini mengenal pasti dan menyaring pelarian dalam usaha memastikan kesahihan status mereka.

Sebelum ini, Timbalan Menteri KDN, Datuk Nur Jazlan Mohamed, menyatakan kerjasama dijalankan dengan UNHCR sejak 1 April lalu bagi melaksana inisiatif itu, kerana pada masa ini pihaknya tidak mempunyai rekod pemegang kad UNHCR bagi membolehkan pemantauan dijalankan, terutama mengelak pembabitan kegiatan pengganas dan jenayah.

Dalam pada itu, Shahidan berkata, rekod UNCHR sehingga 30 September lalu, menunjukkan seramai 62,513 etnik Rohingya berdaftar di negara ini, iaitu pertambahan seramai 5,812 orang dari 56,701 pada Februari lalu.

"Daripada jumlah pelarian Rohingya, 53,811 orang mendapat status pelarian dan 8,342 orang ialah pemohon suaka sementara 2,061 orang sudah ditempatkan di negara ketiga oleh UNCHR," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com