Tengku Sarafudin Teruskan Legasi Raja Muda Kedah


ALOR SETAR  – Dikenali sebagai seorang yang mudah tersenyum dan bijaksana, Raja Muda Kedah yang baharu dimahsyurkan semalam, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin, 50, diyakini mampu meneruskan legasi kecemerlangan Raja-Raja Muda terdahulu terma­suk ayahandanya, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang kini bersemayam di tampuk pemerintahan negeri selaku Sultan Kedah.

Baginda Diputerakan pada 2 Mac 1967, dan pernah mendapat pendidikan di Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi merupakan lepasan dalam bidang perundangan di Universiti Brunel serta Kolej Holborn di London.

Sebaik sahaja baginda melangkah ke alam pekerjaan, bintang baginda ternyata bersinar apabila berpeluang menjawat pelbagai jawatan dalam dunia perundangan serta korporat antaranya adalah Eksekutif Perhubungan Industri di Sime Darby Berhad, Pengarah Bahagian Perundangan dan Setiausaha Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Pengerusi Haisan Resources Berhad.

Pada ketika ini baginda meme­gang jawatan selaku Pengerusi di Thong Guan Industries Berhad, pengarah dan juga Anggota Lembaga Pentadbir di Asiamet (M) Sdn Bhd selain menjadi rakan kongsi di Kamil Hashim Raj & Lim Advocates and Solicitors.

Malah semasa berkhidmat di SKMM pada 1999, baginda mula berkenalan dengan Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff, 46. 

Seterusnya, Baginda berdua melangsungkan perkahwinan pada 27 Februari 2003 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Tunku Zara Bahiyah, 13, dan Tunku Sulaiman Badlishah, 10.

Che Puan Muda Zaheeda yang dilahirkan di Ipoh, Perak merupakan lulusan Ijazah Undang-Undang (Kepujian) dari University of Wales College, Cardiff dan mendapat Sijil Amalan Guaman dari Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia.

Pada ketika ini, Baginda masih berkhidmat sebagai Ketua Bahagian Perundangan dan Kesetiausahaan Syarikat di Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) selain menjalankan tugas sama di Kumpulan Darul Ehsan Berhad. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com