Tengku Sarafudin Badlishah Pakar Dalam Bidang Perundangan


ALOR SETAR - Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin yang dimasyhur sebagai Raja Muda Kedah ke-20 semalam dikenali sebagai seorang yang bijak dan mempunyai kepakaran dalam bidang perundangan.

Tengku Sarafudin, 50, bukan sahaja memiliki Ijazah dalam Undang-Undang (Kepujian) daripada Brunel University, Uxbridge Middlesex United Kingdom, malah turut memiliki Barrister at Law (Inner Temple), United Kingdom.

Tidak terhenti disitu, Baginda juga pernah menjadi peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaysia pada 1994.

Anakanda sulung kepada Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff ini mempunyai seorang adinda, Datuk Tunku Shazuddin Arif Badlishah.

Baginda yang dikenali sebagai seorang yang suka melemparkan senyuman itu pernah menjawat pelbagai jawatan di beberapa agensi dan syarikat antaranya pengarah perundangan dan sekretariat di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) pada 1999.

Baginda kini merupakan pengarah dan juga Anggota Lembaga Pentadbir di Asiamet (M) Sdn Bhd, Pengerusi Thong Fuan Industries Berhad selain menjadi rakan kongsi di Kamil Hashim Raj & Lim Advocates and Solicitors.

Sebagai mengisi masa lapang, baginda dilihat gemar membaca, bermain golf dan melakukan aktiviti eksplorasi.

Diputerakan pada 2 Mac 1967 di Alor Setar, Tengku Sarafudin bertemu jodoh dengan Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Arif dan melangsungkan perkahwinan pada 2003 serta dikurniakan dua cahaya mata iaitu Tunku Zara Bahiyah, 14, dan Tunku Sulaiman Badlishah, 10.

Isteri baginda, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff, 46, dari Ipoh, Perak juga merupakan lulusan Ijazah Undang-Undang (Kepujian) dari University of Wales College, Cardiff dan mendapat Certificate in Legal (Hons) daripada Legal Qualifying Board of Malaysia.

Beliau kini berkhidmat sebagai Ketua Bahagian Perundangan dan Kesetiausahaan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan turut menjawat jawatan sama di Kumpulan Darul Ehsan Berhad.

Sementara itu, Tunku Shazuddin yang diisytiharkan sebagai Tunku Laksamana Kedah semalam, merupakan seorang yang berkepakaran luas dalam bidang reka bentuk serta memiliki kelulusan Reka Bentuk dan Pemasaran dari Kansas Wesleyan University, Amerika Syarikat.

Baginda dilahirkan di Alor Setar 47 tahun lalu dan masih belum mendirikan rumah tangga.

Tunku Shazuddin memulakan kerjaya bersama Johan Design Associates selama lima tahun dan pernah ditugaskan mengurus pelbagai projek untuk beberapa syarikat terkemuka seperti Petronas F1, Malaysia Airlines, RHB Bank, Northport dan pelbagai kementerian di negara ini. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com