Tak Sanggup Tanggung Malu, Nenek Nekad Buang Cucu Ke Laut


BINTAN, INDONESIA - Seorang wanita yang terkejut selepas anaknya tiba-tiba melahirkan bayi bertindak kejam dengan membuang cucunya itu ke dalam laut kerana tidak mahu menanggung malu.

Wanita itu ditahan polis selepas mayat bayi perempuan ditemui terapung di laut di Kampung Mantang Riau, sebuah penempatan atas air di Bintan Timur pada Isnin lalu.

Suspek yang dikenali sebagai Kartina berkata, anaknya yang berusia 17 tahun tiba-tiba mengadu sakit ketika tidur pada Isnin lalu.

Katanya, dia memanggil seorang bidan kampung yang memberitahu bahawa anaknya itu mahu melahirkan anak.

“Saya terkejut kerana anak saya yang belum berkahwin tidak menunjukkan tanda-tanda hamil dan perutnya kelihatan kempis.

“Saya rasa sakit dan malu sekali pada jiran. Ini adalah aib keluarga kami,” katanya yang dipetik Bangka Pos.

Menurutnya, kerana tidak mahu menanggung malu, dia memutuskan untuk membuang cucunya yang baru berusia beberapa jam ke dalam laut.

Kartina keluar dari rumah pada jam 5 pagi (waktu tempatan) kerana tidak mahu dilihat jirannya sebelum membuang cucunya ke dalam laut.

Bagaimanapun, setengah jam kemudian dia rasa bersalah dan kasihan mula menyelubungi dirinya.

“Saya kemudian pergi semula ke lokasi saya membuang bayi itu untuk mengambilnya semula tetapi dia sudah meninggal dunia,” jelasnya.

Sementara itu, jurucakap polis Bintan Timur, Abdul Rahman berkata, Kartina ditangkap dan akan didakwa kerana membunuh cucunya sendiri.-Agensi

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com