Tak Perlu Bayar Salinan Sijil SPM, STPM Rosak Akibat Banjir


PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan bersetuju mengecualikan bayaran bagi mangsa banjir yang mahu mendapatkan semula salinan asal sijil peperiksaan mereka yang hilang atau rosak akibat bencana itu.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata mereka bagaimanapun perlu membawa bukti menjadi mangsa banjir.

"Kita boleh beri (pengecualian bayaran), namun mereka perlu kemukakan bersama bukti menjadi mangsa banjir," katanya pada sidang media selepas Sambutan Hari Integriti Kementerian Pendidikan di sini semalam.

Yang hadir sama, Timbalannya, Datuk P Kamalanathan dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Alias Ahmad.

Ketika ini, Lembaga Peperiksaan mengenakan bayaran RM30 bagi satu salinan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), manakala Majlis Peperiksaan Malaysia mengenakan RM50 bagi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Mengenai rungutan soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terlalu sukar untuk pelajar, beliau berkata, setakat ini pihaknya belum menerima aduan rasmi daripada mana-mana pihak berhubung perkara
 berkenaan.

"Kalau ada sebarang aduan, kita nasihatkan ibu bapa berjumpa terus Bahagian Peperiksaan, Jabatan Pendidikan negeri di tempat masing-masing," katanya.

Sementara itu, Mahdzir berkata, jumlah kakitangan kementerian itu yang terbabit dengan masalah integriti seperti rasuah, salah guna dadah, jenayah, disiplin dan tatatertib, terlalu kecil berbanding jumlah keseluruhan 500,000 orang ketika ini.

Sejak 2010 hingga Oktober tahun ini, katanya, terdapat sejumlah 3,450 kes pelanggaran tatatertib oleh kakitangan kementerian dengan kesalahan tertinggi, tidak hadir tugas iaitu 1,912 kes atau 55.4 peratus daripada keseluruhan kes.

"Daripada jumlah kes tidak hadir tugas, 1,311 dilakukan oleh anggota pelaksana, manakala 601 oleh kumpulan pengurusan dan profesional.

"Antara hukuman dikenakan kepada mereka ialah turun pangkat dan gaji tidak dinaikkan. Jika amaran tidak diendahkan dan masalah terus berulang, pilihan terakhir adalah buang kerja.

"Alasan yang sering diberi berkaitan masalah peribadi, tekanan di rumah, kewangan dan masalah anak kecil," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com