Tahap Penyediaan Penyata Kewangan Kedah Bagi 2016 Adalah Baik


ALOR SETAR - Secara umumnya tahap penyediaan dan penyerahan Penyata Kewangan  untuk Kerajaan Negeri Kedah bagi tahun 2016 adalah baik manakala tahap penyediaan dan penyerahan Penyata Kewangan Agensi negeri pula berada ditahap memuaskan.

Mengulas lanjut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2016 Siri 2 yang dikeluarkan semalam menyebut kedudukan kewangan kerajaan negeri pada 31 Dis 2016 menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2015.

"Prestasi kewangan Badan Berkanun Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan masing-masing adalah pada tahap kurang memuaskan berbanding tahun 2015.

"...manakala prestasi pelaksanaan projek di bawah RMK-11 yang berakhir pada tahun 2016 adalah cemerlang kerana 90.7 peratus projek telah disiapkan," kata laporan berkenaan.

Selain itu, kenyataan itu turut menyebut prestasi kewangan kerajaan negeri masih boleh dimantapkan lagi dengan memberikan beberapa syor bagi peningkatan prestasinya.

Antaranya ialah kerajaan negeri disarankan untuk meneruskan usaha meningkatkan hasil pendapatan melalui pelbagai sumber, mengamalkan perbelanjaan secara berhemah, mengurangkan tunggakan hasil dan tunggakan Pinjaman Boleh Dituntut serta membuat bayaran balik pinjaman atau hutang lain mengikut jadual yang ditetapkan supaya kedudukan kewangan berada dalam keadaan kukuh. 

"Selain itu tadbir urus Tabung Kewangan Amanah perlu dipertingkatkan supaya ia sejajar dengan objektif utama penubuhan tabung berkenaan," katanya yang dipetik Bernama.

Selain itu bagi ketua jabatan mahupun agensi perlu mempertingkatkan penglibatan secara praktikal dalam urusan kewangan.

Sementara itu, bagi syor lain adalah ketua jabatan serta agensi perlu mewujudkan sistem semak dan imbang, mengadakan pemantauan berterusan, pemeriksaan mengejut dan penilaian secara berkala terhadap kerja yang dilaksanakan oleh pegawai termasuk memberikan latihan untuk meningkatkan kemahiran dan keupayaan pegawai.

Ketua jabatan.agensi perlu juga mempertingkatkan keberkesanan fungsi Unit Audit Dalam (UAD), antaranya memastikan anggota UAD mendapat latihan dan bimbingan secukupnya, menyediakan perancangan audit tahunan supaya pengauditan dapat dilaksanakan mengikut keutamaan.

Menurut laporan tersebut, membuat penilaian secara objektif dan bebas bukan sahaja berkaitan dengan aspek kawalan dalaman malahan risiko dan tadbir urus organisasi, melaporkan penemuan signifikan serta mengesyorkan cadangan yang memberi impak kepada organisasi.- Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com