Sukarelawan Polis Ketika Zaman Darurat Kini Terlantar Lumpuh


ALOR SETAR - Individu ini pernah menjadi saksi peristiwa bersejarah Rundingan Baling antara kerajaan dan Parti Komunis Malaya (PKM) pada 28 dan 29 Disember 1955.

Namun kini, khidmatnya sebagai sukarelawan polis ketika darurat kini makin lenyap ditelan zaman dan lebih memilukan, Sani Che Tam, 81, kini terlantar lumpuh akibat serangan angin ahmar di rumah di Kampung Lubuk Badak, Baling.

Sani Che Tam telah lumpuh sebelah badan sejak kira-kira empat bulan lalu dan kini bergantung harap kepada isteri, Timah Rejab, 80, yang turut bermasalah kesihatan akibat faktor usia untuk menguruskan hidup.

Isterinya, Timah berkata, suaminya tidak mampu menguruskan diri sendiri akibat lumpuh dan terpaksa menggunakan saluran tiub untuk makan serta memakai lampin pakai buang.

"Mak cik sendiri tak sihat kerana ada masalah pendengaran dan selalu lupa kerana faktor usia. Mujur kami ada lapan anak yang membantu menjaga suami secara giliran khususnya pada waktu malam.

"Suami perlu jalani rawatan susulan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani, nasib baik Pejabat Ahli Parlimen Baling ada sediakan ambulans percuma dari rumah ke hospital.

"Selain itu, keperluan lampin pakai buang suami setiap bulan juga disediakan Pejabat Ahli Parlimen Baling," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Terdahulu, Timah dan suami yang juga ahli Persatuan Bekas Polis Malaysia cawangan Pengkalan Hulu di Perak, menerima kunjungan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling Shamsul Izrin Isahak dan Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Baling Noor Azman Ramli.

Mengulas lanjut mengenai perkhidmatan Sani ketika zaman darurat, Timah berkata, suaminya antara yang turut ditugaskan mengawal keselamatan semasa pertemuan antara pemimpin PKM, Chin Peng dengan pasukan kerajaan diketuai Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Baling English School (kini Sekolah Kebangsaan Tunku Putera) pada Disember 1955.

"Sejarah itu tinggal kenangan dalam hidup suami dan dia memang sering bercerita suka duka ketika bertugas sebagai anggota pasukan keselamatan zaman darurat kepada anak dan cucu.

"Mak cik masih ingat pengorbanan suami yang menjadi anggota polis sukarelawan ketika zaman darurat semata-mata menjaga keselamatan negara.

"Walaupun tidak mendapat imbuhan sebanyak mana berbanding anggota pasukan keselamatan sekarang, semangat suami untuk menjaga negara terpahat dalam hati ini," katanya yang dipetik MyMetro.

Selain itu, Shamsul Izrin berkata, JKM menyampaikan bantuan segera berbentuk wang tunai dan barangan makanan kepada bekas polis tersebut, selain membantu mendapatkan bantuan bulanan melalui kategori Bantuan Pesakit Terlantar.

"Kami akan beri bantuan selepas mengikut prosedur dan kelayakan kepada pesakit berkenaan. Memang dia layak untuk mendapat bantuan bagi menampung perbelanjaan harian seperti ubat dan keperluan lain kerana sewaktu sihatnya dia bekerja kampung sebagai penoreh," jelasnya. -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com