Skuad Badar Cegah Maksiat Di Kedah, Tak Gentar Walau Diugut Bunuh


ALOR SETAR - Skuad Badar yang menjalankan aktiviti mencegah kemungkaran tetap meneruskan perjuangan bagi terus menegakkan syiar Islam walaupun pernah menerima ugutan bunuh dan diancam keselamatan.

Pengerusinya, Azhar Mohamad berkata, dalam usaha mengekang dan membasmi kegiatan maksiat yang berleluasa, pihaknya tidak terlepas dengan dugaan dari golongan penentang tidak kira pelbagai bangsa dan agama yang tidak menyenangi tindak-tanduk yang dilakukan NGO itu.

Menurutnya, walaupun permohonan untuk mendaftar pertubuhan telah pun dilaksanakan menerusi Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS), namun pihaknya masih belum menerima respons dari pihak berkenaan.

“Kami tahu pertubuhan ini masih belum diluluskan, tetapi kami tetap teguh membantu masyarakat yang sentiasa dahagakan keamanan.

"Kami tak lakukan kesalahan sebaliknya hanya bantu membendung gejala sosial yang semakin kronik, ”katanya.

Skuad Badar mendapat perhatian ramai setelah menjalankan usaha memantau pergerakan anak muda yang bukan sahaja melakukan perkara terkutuk, malah yang juga dilihat menghabiskan masa di kafe siber semasa orang ramai sibuk untuk menunaikan solat Jumaat.

Menerusi video berdurasi 6 minit 33 saat itu, ia dilihat lebih 59,000 penonton dan dikongsi lebih 500 pengguna laman sosial, membuktikan apa yang dilakukan skuad itu bukanlah untuk mengaut keuntungan atau mencari nama sebaliknya demi agama Islam tercinta.

Dapat disaksikan bahawa anak muda kini semakin jauh terpesong dan gemar menghabiskan masa dengan perkara tak berfaedah.

Paling menyedihkan, kebanyakan pengunjung kafe siber adalah kanak-kanak dan paling muda yang ditemui berusia sembilan tahun.

Mereka ini dikerah untuk bergerak bersama-sama menuju ke masjid berdekatan, diarahkan menunaikan solat Jumaat, mengejutkan apabila ada antara pengunjung telah menyarungkan baju Melayu tetapi sebaliknya menghabiskan masa bermain video games.

Menurutnya, apa yang menjadi kekuatan ialah sokongan dari umat Islam sendiri yang sentiasa menyokong dalam kerja-kerja pencegahan biarpun mendapat cacian ramai pihak.

“Kami sayangkan generasi hari ini, kami tak mahu mereka lalai dan terus-terusan terpedaya dengan tipu daya syaitan sehingga meruntuhkan akhlak. Apa yang kami temui, kesan dari sesi pemantauan dan tarbiah ialah golongan yang terjebak ini masih muda dan tidak kurang juga golongan berusia termasuk berumur 52 tahun ditemui melakukan maksiat dalam bilik motel.

“Yang paling muda dipercayai melakukan zina ialah pelajar berumur 16 tahun, ditemui dalam keadaan mencurigakan, berdua-duaan dengan pasangan, keadaan ini sangat mendukacitakan,” katanya.

Video terbaharu yang ditular ialah tindakan Skuad Badar membawa pasangan zina ke kawasan perkuburan bagi sesi tazkirah dan tarbiah.

“Ada yang menangis tak kira lelaki dan perempuan bila kita tarbiahkan mereka, maklumlah jam 3 pagi diletakkan tengah kubur, kita harap mereka insaf dan berubah,” katanya.

Menurut beliau, kesemua yang ditarbiahkan dimaklumkan waris dan ibu bapa di mana mereka ini ditahan dalam cegah maksiat serta lain-lain operasi, melakukan kesalahan dan patut diberi pengajaran.

Menceritakan pengalaman berdepan waris dan ahli keluarga yang ditarbiah, sesetengah mereka sangat berterima kasih dan mengakui kesalahan anak serta berharap skuad itu akan terus melakukan aktiviti cegah maksiat.

“Kami berjuang atas nama Islam, menegakkan Islam dan berjuang atas nama ALLAH, jika berlaku sesuatu semasa kami berjuang, sudah pasti syahid bagi kami,” katanya.

Katanya, biarpun berdepan cabaran, keahlian skuad itu yang sebelum ini mencecah 30 orang, kini meningkat sehingga 205 orang, itu sesuatu pencapaian yang positif. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com