Silap Besar Jika Ferrari Tinggalkan Formula 1


ABU DHABI - Ferrari akan lebih menderita jika mereka meneruskan hasrat meninggalkan perlumbaan Formula Satu (F1), kata Presiden Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Jean Todt.

Pengerusi pengeluar kereta mewah Itali itu, Sergio Marchionne pada bulan ini mengancam pasukan F1 pasukan itu mungkin meninggalkan sukan permotoran elit berkenaan jika mengambil arah bertentangan dengan kepentingan Ferrari.

Ferrari adalah pasukan F1 paling berjaya dan popular serta menjadi satu-satunya pasukan yang beraksi di Kejuaraan Dunia sejak musim pertama pada 1950.

“Saya tidak mahu melihat Ferrari meninggalkan kami tetapi saya tidak yakin adalah sesuatu yang memberi manfaat kepada Ferrari jika mereka meninggalkan F1,” kata Todt yang juga bekas bos pasukan F1 Ferrari ketika Grand Prix menutup musim di Abu Dhabi.

“Ferrari adalah jenama yang unik, kombinasi antara perlumbaan dan kereta jalanan. Jadi saya fikir ia akan menyakitkan jika Ferrari tidak berada dalam F1.”

Todt sebelum ini adalah Prinsipal pasukan Ferrari ketika mereka berada di puncak prestasi, diketuai juara dunia tujuh kali, Michael Schumacher pada awal 2000.

Amaran Marchionne hadir selepas FIA dan pemegang hak komersial F1, Liberty Media mendedahkan rancangan bagi enjin yang lebih murah dan berbunyi kuat dengan alat ganti lebih standard bagi menggantikan unit kuasa bermula pada 2021.

Liberty juga mahu tahap persaingan serta pengagihan keuntungan diberikan lebih adil kepada semua pasukan selepas perjanjian komersial berakhir pada 2020.

Ferrari yang meraikan ulang tahun ke-70 tahun ini menerima bayaran istimewa berikutan status bersejarah mereka dan memiliki beberapa kuasa mutlak di bawah kontrak sedia ada.

Begitupun, pasukan itu mengancam untuk meninggalkan sukan berkenaan sebelum perubahan itu didedahkan.

Ketika sesetengah pihak melihat ancaman itu sebagai kosong, bekas bos F1 Bernie Ecclestone memberitahu Reuters yang ia sepatutnya tidak boleh diabaikan.

Sumber: Metro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com