Sarjan Dari Kulim Didakwa Ambil Rasuah Dijel 20 Bulan, Denda RM20,000


ALOR SETAR - Seorang anggota polis dijatuhi hukuman penjara 20 bulan dan RM20,000 oleh Mahkamah Khas SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) Alor Setar semalam selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan pindaan bersetuju untuk menerima rasuah RM200 dua tahun lalu.

Menurut Sarjan Azahar Abdul Aziz yang bertugas sebagai Sarjan Detektif di Cawangan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, ketika perbuatan itu dilakukan, bagaimanapun hanya perlu menjalani hukuman penjara 10 bulan selepas mahkamah memerintahkan dua hukuman itu berjalan serentak mulai Ahad.

Hakim Zanol Rashid Hussain turut menambah penjara tambahan 200 hari jika tertuduh gagal membayar denda tersebut.

"Selepas meneliti hujah pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah mendapati pembelaan gagal menimbulkan apa-apa keraguaan munasabah terhadap kes pendakwaan.

"Elemen 'Anggapan' Seksyen 50 Akta SPRM 2009 juga gagal dipatahkan, justeru tertuduh disabitkan dengan pertuduhan," katanya yang dipetik MyMetro.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Azahar sebagai ejen Kerajaan Malaysia, iaitu Sarjan Polis Diraja Malaysia di IPD Kulim, melalui satu panggilan telefon secara rasuah bersetuju untuk terima suapan RM200 daripada Sulaiman Sahbudin, 30, (pengadu) pada 13 Januari 2015, kira-kira jam 5 petang.

Ketika panggilan dibuat, pengadu berada di pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Cawangan Kulim dan suapan itu sebagai upah kononnya tertuduh membantu mengurangkan hukuman ke atas Sulaiman yang hanya dikenakan hukuman pengawasan AADK selama dua tahun.

Azahar didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Sekyen 24 (1) akta sama.

Mengikut laporan, bagi pertuduhan pindaan kedua, bapa kepada empat anak itu didakwa bersetuju menerima RM200 daripada pengadu bagi tujuan sama di Nasi Kandar Pelita, No 111-C Jalan Raya, Kulim, pada tarikh sama, jam 6.50 petang.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 17 (a) ASPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Justeru itu, mahkamah menetapkan tertuduh didenda RM10,000 atau penjara 100 hari jika gagal membayar denda terbabit serta penjara 10 bulan bagi setiap pertuduhan secara serentak bermula Ahad.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A Hafiizh Abu Bakar berhujah supaya hukuman berat dikenakan walaupun peguam Ang Chun Pun merayu hukuman penjara disingkatkan.

"Peruntukan hukuman dalam undang-undang jelas menunjukkan rasuah adalah kesalahan yang berat. Apatah lagi tertuduh adalah anggota polis yang sepatutnya menegakkan undang-undang sedia ada.

"Pendakwaan merayu hukuman berbentuk pengajaran kepada tertuduh dan anggota polis lain," ujarnya.

Menurut peguam yang mewakili tertuduh, berkata, tertuduh seorang sarjan di IPD Kulim dengan pendapatan tidak melebihi RM3,000 serta perlu menangung isteri dan tiga daripada empat anak bersekolah.

"Anak guam saya juga mempunyai rekod baik sejak berkhidmat selama 30 tahun dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," jelasnya.

Mahkamah dalam pada itu membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman pemenjaraan selepas dipohon peguam sementara menunggu rayuan kes itu di Mahkamah Tinggi, namun memerintahkan denda dibayar semalam. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com