Salah Tekan Pedal, Kereta Rempuh Ruang Tamu


PARIT - Seorang wanita nyaris maut apabila kereta dipandunya merempuh ruang tamu rumahnya sendiri di Taman Parit Jaya, di sini semalam.

Difahamkan, ketika kejadian, warga emas berusia 64 tahun itu dikatakan mahu mengundur keretanya namun tersilap menekan pedal minyak, lalu kenderaan tersebut merempuh ruang tamu rumahnya sendiri.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan ll Azman Harun berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.41 petang dan anggotanya bergegas ke tempat kejadian

Menurutnya, apabila tiba di tempat kejadian, anak mangsa berusia 23 tahun didapati terperangkap di ruang tamu rumah terbabit.

"Akibat rempuhan itu, kereta jenis Honda CRV berkenaan berada di ruang tamu rumah dan terdapat seorang mangsa yang merupakan OKU berada di situ.

"Pemandu wanita itu tidak dapat keluar kerana dihalang jeriji pintu dan kami segera membantu mengeluarkan mangsa.

"Ibu dan anak berkenaan tidak cedera dan hanya mengalami kejutan akibat kejadian itu," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa diperiksa oleh pasukan perubatan yang turut tiba di lokasi kejadian.

"Operasi menyelamat tamat pada jam 3.25 petang setelah semuanya dalam keadaan terkawal," katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com