RM3j Pulih Industri Perikanan Di P.Pinang


NIBONG TEBAL - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan menyalurkan bantuan berjumlah RM3 juta kepada sektor perikanan di Pulau Pinang yang terjejas teruk berikutan bencana banjir dan air laut pasang pada awal bulan ini.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, bantuan itu terbahagi kepada dua kategori iaitu bantuan kepada nelayan dan penternak ikan yang terjejas serta membaik pulih infrastruktur perikanan yang rosak.

Beliau berkata, bantuan berjumlah RM930,000 diperuntukkan bagi membantu seramai 280 nelayan dan penternak ikan yang terkesan disebabkan kejadian air pasang besar ketika bencana tempoh hari manakala RM2 juta lagi diperuntukkan bagi membaik pulih infrastruktur perikanan yang rosak di beberapa kawasan di negeri ini terutama di Pulau Aman.

“Pengeluaran ikan sangkar dari Pulau Aman menyumbang kepada 50 peratus hasil ikan ternakan di pasaran Malaysia dan segala kemusnahan dialami pengusaha boleh menjejaskan bekalan ikan tempatan.

“Selain itu, peruntukan tambahan akan dipohon pihak kementerian bagi memberi bantuan wang tunai kepada keluarga nelayan di negeri ini yang terjejas berikutan bencana alam berkenaan,” katanya selepas melawat sangkar ikan dan menyempurnakan majlis penyampaian bantuan kepada nelayan di Pulau Aman.


Ahmad Shabery berkata, beliau menerima laporan jumlah kerugian dialami pengusaha ikan sangkar di Pulau Aman terbabit dianggarkan RM43 juta dan ia adalah jumlah yang besar.

Menurutnya, pada masa sama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) turut memperuntukkan RM80,000 bagi membaiki sangkar ternakan dan pondok ikan milik Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Seberang Perai.

“Bagi segmen perikanan tangkapan pula, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) melaporkan seramai 119 nelayan terjejas di negeri (Pulau Pinang) ini dan membabitkan lima jeti, rumah (30) serta sampan (99) manakala dalam segmen penternakan ikan atau akuakultur pula, seramai 164 pengusaha membabitkan sebanyak 4,300 sangkar dan 407 kolam ternakan turut terjejas,” katanya.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com