Rakyat Sweden Protes Tindakan Libya Dagang Hamba


STOCKHOLM - SWEDEN. Ribuan rakyat Sweden berkumpul di ibu kota Stockholm sebagai bantahan terhadap aktiviti perdagangan hamba imigran dan pelarian Afrika di Libya.

Menurut laporan Al-Jazeera, kira-kira 4,000 orang berkumpul dalam bantahan yang diatur oleh pengarang buku dan pengasas Black Vogue, Lovette Jallow.

"Jangan berterima kasih kepada saya sebab saya atur perhimpunan ini, kita semua perlukan perhimpunan ini, kita semua bertanggungjawab," kata Jallow.

Beliau menggesa semua pihak membuka mata terhadap isu perdagangan hamba yang didedahkan CNN, baru-baru ini.

"Jangan fikir ia terjadi pada mereka dan bukan kita, kita tahu yang pemerdagangan hamba tidak pernah benar-benar tamat," kata usahawan berusia 30 tahun itu.


Kata Jallow kepada peserta perhimpunan yang terdiri daripada pelbagai kaum dan warna kulit, perubahan perlu dilakukan di tanah air sendiri.

"Ini adalah isu hak-hak kemanusiaan, ini (berhimpun) adalah salah satu cara anda boleh buat.

"Adakah anda dari Turki, Kurdistan, Iran atau Mesir? Kalau anda berada di negara-negara tersebut dan ada hamba, cakap!.

"Sudah tiba masanya untuk kita ucap cukup (terhadap perhambaan)," katanya.

Laporan CNN baru-baru ini mendedahkan rakaman video menunjukkan pelarian dan imigran Afrika dijual semurah AS$100 (RM411.40) untuk dijadikan hamba di Libya.


Susulan pendedahan itu, beberapa pemimpin dunia memberikan reaksi dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron menggesa satu mesyuarat oleh Jawatankuasa Keselamatan PBB untuk membincangkan isu tersebut.

Selain itu, Macron juga melabel isu berkenaan sebagai 'jenayah Libya terhadap umat manusia'.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com