Rakyat Belanja Lebih RM100 Juta Di Lazada Dalam Sehari!


KETIKA ada pihak membuat cerita kononnya rakyat Malaysia hidup melarat tidak mampu membeli-belah, lain pula kisah yang berlaku kelmarin apabila ramai netizen berpesta sakan ‘borong’ barang!

Keajaiban itu tercipta apabila ramai pengguna media sosial berpusu-pusu tidak melepaskan peluang beli barang yang diminati secara atas talian bersempena satu promosi sebuah syarikat e-dagang paling popular di Malaysia, Lazada.

Ramai bercerita mengenai tawaran diskaun harga runtuh portal beli-belah terkenal itu yang menganjurkan kempen promosi terbesar setiap tahun pada 11 November baru-baru ini.

Melalui kempen dinamakan 11.11 bersempena angka tarikh itu, orang ramai boleh mendapatkan pelbagai produk terpilih dengan potongan harga sehingga 70 peratus menerusi pembelian di laman webnya.

Tidak kira sama ada barangan makanan seperti Milo dan Nescafe sehinggalah kepada barangan elektronik semuanya dijual dengan harga promo pada hari berkenaan.

‘Menariknya’ rakyat Malaysia difahamkan telah berbelanja lebih daripada RM100 juta dalam masa sehari ketika membeli belah menerusi platform e-dagang berkenaan.

Jumlah itu menurut Lazada merupakan rekod terbesar pernah dicatatkan syarikat itu sejak ia diperkenalkan pada 2013. Malah nilai dagangan kali ini adalah tiga kali ganda berbanding tarikh sama pada tahun lalu.

Sumber yang dipetik Lowyat.net memberitahu pada hari itu sahaja, sebanyak 10 juta kunjungan direkodkan yang mana secara congak lebih 6,900 pengguna meninjau barangan pada setiap minit.

Tidak setakat itu, Lazada turut menganggarkan lebih daripada 1,400 transaksi jual beli berlaku pada setiap minit termasuk set TV UHD jenama Samsung 75 inci berharga RM13,499.

Lebih mengejutkan lagi adalah antara barangan yang menerima pembelian tertinggi adalah telefon pintar dan tablet dengan catatan sebanyak 34,000 unit berjaya dijual!

Sudah semestinya pada hari tersebut kebanyakan daripadanya melakukan transaksi kad kredit yang secara tidak langsung menambahkan lagi ansuran bayaran bulanan sedia ada.

Agak pelik sebenarnya apabila ada pihak mendakwa konon keadaan ekonomi yang dikatakan tidak beberapa stabil ditambah pula nilai susut ringgit tetapi kuasa membeli dalam kalangan masyarakat pula meningkat.

Jadi benarlah rakyat Malaysia kini sememangnya ‘dibebani’ kos sara hidup yang tinggi sehinggakan dalam masa sehari sahaja lebih daripada RM100 juta dibelanjakan dalam talian. – Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com