Program Gotong-Royong Anjuran LADA Berjaya Kutip 120kg Sampah Dalam Masa 4 Jam


ALOR SETAR - Program anjuran Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Malaysia Airport Sdn Bhd (MASB) dengan kerjasama Koperasi Komuniti Kampung Kilim Langkawi Berhad telah berjaya mengutip sebanyak 120 kilogram sampah dalam masa hanya 4 jam di Pangkalan Nelayan Sungai Kilim, Langkawi pada Ahad.

Dalam 'Program Gotong-Royong GeoVolunteer' yang bertemakan 'Jom Selamatkan Paya Bakau' yang bermula jam 8.30 pagi itu telah disertai 30 kakitangan MASB Langkawi dalam tujuan menzahirkan suasana hijau di persekitaran Kilim Karst Geforest Park.

 "Sepanjang program selama empat jam peserta mengutip 120 kg pelbagai jenis sampah dan 300 pancang buluh, selain menanam 215 benih pokok bakau.

"Kerjasama seumpama ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan komuniti tempatan bahkan memberi pendedahan kepada warga kerja MASB berkaitan khazanah alam," kata Pengurus Besar MASB, Suhaimi Mubin ketika ditemui.

Suhaimi berkata, masyarakat tidak boleh bergantung kepada pihak berkuasa tempatan semata-mata untuk menjaga kebersihan, sebaliknya semua pihak perlu memainkan peranan dengan tidak membuang sampah sesuka hati.

"Misalnya kawasan Santuari Bakau, Kilim Karst Geoforest Park yang kami bersihkan hari ini dikelilingi tujuh hutan simpan serta hutan bakau asli yang amat berharga dan perlu dipertahankan selama-lamanya.

"Difahamkan juga batuan di sini dibentuk oleh batuan kapur berusia 490€“350 juta tahun, malah kira-kira 77 daripada 114 spesies bakau di dunia boleh didapati di Langkawi," katanya yang dipetik MyMetro.

Tambah beliau lagi, pihaknya bersedia menganjurkan program sama pada masa hadapan sebagai sebahagian program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com