PPIM Mahu Umat Islam Boikot Hotel Anti-Hijab


“SAYA cadangkan kita (pengguna beragama Islam) senarai hitamkan nama hotel-hotel yang tidak tahu menghormati hak umat Islam dan tidak patuh syariah kemudian viralkan (ditularkan).

“Ini supaya semua saudara Islam tahu dan selepas ini jangan lagi pergi ke hotel yang jelas membenci umat Islam di negara ini,” demikian tegas Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Menurut beliau yang dipetik portal tempatan Menara.my, pada zaman ini setiap pengguna Muslim seharusnya lebih bijak dalam membuat pilihan tanpa mengharapkan inisiatif kempen daripada pihak kerajaan semata-mata.

“Kita seru kepada kesepakatan pengguna Islam untuk melindungi diri mereka daripada dilihat sebagai keadaan dalam diskriminasi,” katanya sebagai mengulas laporan ada hotel enggan benar stafnya berhijab ketika bertugas.

Perkara pelik didedahkan Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin pada Ahad lalu yang kesal ia melanggar hak kebebasan amalan beragama yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Sebelum itu, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dilaporkan tetap mempertahankan tindakan operator hotel yang melarang pekerja wanita beragama Islam bertudung bertugas di bahagian perkhidmatan pelanggan (frontdesk).

Ia turut mendapat reaksi keras menteri berkenaan, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz di Parlimen pada Selasa yang menyifatkan tindakan MAH sebagai kurang ajar dan tidak menghormati Islam sebagai agama Persekutuan.

Mengulas lanjut Nadzim berkata, “Sudah tiba masanya pengguna Islam menyedari kuasa yang ada pada mereka sendiri dan menggunakannya tanpa rasa tertekan bagi menghapuskan diskriminasi tersebut tanpa bimbang.

“Sebaliknya biarkan pengusaha hotel itu pula yang berasa tertekan akibat dari perbuatan biadab mereka sendiri.” Nadzim menjelaskan, Malaysia mengamalkan Perlembagaan berpandukan Islam sebagai Agama Persekutuan.

Ini bermakna sesiapa pun yang tinggal di negara ini mesti mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan. “Polisi atau SOP hotel itu soal kedua, yang penting Perlembagaan (Persekutuan) perlu dipatuhi terlebih dahulu,” tegasnya.

Menurutnya, jika dilihat di Amerika Syarikat, China mahupun Iran misalnya, mereka juga ada perlembagaan masing-masing bahkan di mana-mana negara mengikut perlembagaan tertentu yang ditetapkan negara berkenaan.

“Kalau mereka tidak ikut undang-undang yang ditetapkan, pengguna pun janganlah ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’, cari sahajalah hotel yang lain. Mengapa penguat kuasa tidak boleh bertegas?” soal beliau.

Beliau mengesa, “Pekerja dinafikan hak untuk amal ajaran Islam atas alasan SOP dan polisi hotel supaya tegakkan pendirian dan tegas selain buat laporan kepada pihak berkuasa ke atas majikan tidak bertanggungjawab itu.”

Menurutnya, majlis-majlis bufet kerajaan juga perlu bersepakat untuk memboikot dan tidak mengadakan lagi majlis di hotel-hotel yang tidak tahu menghormati Islam sebagai agama Persekutuan. –Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com