Polis Tahan Anak Bantu Ayah Bunuh Diri


KUANTAN – Polis menahan seorang lelaki kerana dipercayai terlibat membantu ayahnya, seorang warga emas berusia 65 tahun untuk membunuh diri dalam sebuah bilik hotel, di Genting Highlands pada Khamis lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang SAC Othman Nayan berkata, mayat mangsa ditemui oleh petugas hotel berkenaan dan melaporkan kepada polis pada 10.20 pagi hari berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian, mendapati mangsa dalam keadaan terbaring dan terdapat kesan lilitan di bahagian leher selain menjumpai seutas tali yang dipercayai digunakan untuk melilit leher mangsa.

“Siasatan awal juga, tidak menjumpai sebarang bukti untuk dikaitkan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kes telah diklasifikasikan sebagai SDR (mati mengejut),” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Namun katanya, siasatan diteruskan disebabkan beberapa keraguan dengan hasil siasatan lanjut mendapati terdapat individu kedua yang turut menginap di bilik berkenanaan.

Katanya, individu kedua itu juga yang merupakan anak lelaki mangsa berusia 35 tahun telah berjaya ditangkap pada Ahad lepas di sekitar pusat peranginan tersebut.

Othman berkata, hasil soal siasat awal suspek yang bekerja sebagai peniaga mengaku telah membantu ayah kandungnya untuk membunuh diri.

Katanya, berdasarkan rakaman CCTV dan keterangan pekerja menunjukkan suspek berada di dalam bilik berkenaan semasa kejadian sebelum melarikan diri.

Beliau berkata, suspek yang mempunyai rekod sakit mental dan masih mengambil ubat ditahan reman sehingga Khamis ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 306 Kanun Keseksaan kerana menyubahati kesalahan membunuh diri jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com