Polis Perlis Buru 56 Individu Terlibat Pelbagai Kes


KANGAR - Polis memburu 56 individu dikehendaki membabitkan pelbagai kes termasuk bunuh dan cubaan bunuh sejak 1999.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perlis, Superintendan Azahar Muda, berkata individu yang diburu itu terdiri daripada 55 lelaki dan seorang wanita berusia 17 hingga 67 tahun.

"Antara yang diburu adalah seorang lelaki yang dikenali dengan nama Chan Chong Wei, 50, diburu bagi menyelesaikan satu kes bunuh di daerah ini pada 2001.

"Selain itu, dua lelaki iaitu Khazali Abdullah, 42, dan Muhammad Rizal Ismail, 27, juga turut diburu atas kesalahan cuba membunuh seorang pegawai Kastam di Padang Besar, dua tahun lalu.

"Kita juga turut mengesan seorang lagi lelaki, Ahmad Farid Nordin, 29, atas kesalahan cuba membunuh anggota polis dengan merempuh anggota berkenaan yang sedang bertugas di Jalan Panggas Chuping," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, di sini, semalam.

Azahar berkata, siasatan mendapati semua suspek berkenaan sudah berpindah randah, selain mengubah wajah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Pelbagai kemungkinan boleh berlaku sama ada mereka masih di negeri ini, melarikan ke negeri lain mahupun ke negara jiran, Thailand.

"Jadi kita berharap orang ramai yang mempunyai maklumat dapat menghubungi kita dengan kadar segera," katanya yang turut mengesahkan kerjasama dengan pihak berkuasa Thailand turut diadakan bagi mengesan suspek.

Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar di talian 019-6610867; IPD Padang Besar, 019-9978700 dan IPD Arau, 012-4336002.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com