Piala TMJ Bakal Hangatkan Bola Sepak Tempatan


KUALA LUMPUR - Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) akan memperkenalkan satu pertandingan baharu yang membawa format kalah mati iaitu Piala Tunku Mahkota Johor (TMJ), tahun depan.

Timbalan Presiden PBMM, Mohd Firdaus Mohamed berkata, Piala TMJ yang mirip Piala FA dalam Liga Malaysia itu akan membabitkan semua negeri di semenanjung termasuk dua pasukan beruniform, Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

"Kami turut akan mengundang beberapa pasukan luar termasuk Sabah dan Sarawak bagi memeriahkan Piala TMJ sekali gus menjadikannya lebih berdaya saing," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan PBMM.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu berkata, Piala TMJ turut menyahut wawasan dan aspirasi Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk merakyatkan bola sepak tempatan apabila beliau mengumumkan penubuhan Liga Divisyen Empat, baru-baru ini.

PBMM pada setiap tahun mengelolakan dua pertandingan, Piala Emas Raja-raja (PERR) serta Piala Agong yang menjadi perlawanan pembuka tirai menemukan penyandangnya dengan juara PERR.

PERR yang hampir sebaya Piala Malaya (kini Malaysia) sudah memasuki edisi ke-77 dimenangi Pulau Pinang, Sabtu lalu dengan menewaskan Kelantan 2-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Saingan PERR yang bermula 20 September lalu turut mengundang lima pasukan bukan ahli gabungan PBMM seperti Putrajaya, FELDA United, DBKL, MCFA dan Penjara FC serta Singapura.

Piala Agong 2017 yang menjadi milik Pahang selepas menewaskan Negeri Sembilan 4-3 di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 12 September lalu, diperkenalkan mulai 1962.

"PBMM selain itu masih perlu mengkaji kesesuaian tarikh dan jadual perlawanan semua pertandingan kelolaan kami agar tidak bertindan dengan Liga Malaysia (Liga Super dan Perdana, Liga FAM dan Piala Malaysia)," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com