Pertembungan Parti Pembangkang Di Kuala Kedah Beri Kelebihan Kepada UMNO?


ALOR SETAR - UMNO Kuala Kedah sedang memerhati 'pergolakan dalaman' antara parti yang bergabung dalam Pakatan Harapan dan PAS di Kuala Kedah berikutan penyertaan ADUN PAS Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Seorang lagi ADUN PAS Kubang Rotan, Nasir Mustafa juga dijangka 'berhijrah' kepada parti baharu - sama Parti Amanah Negara (PAN) atau PKR atau pun mengikut langkah Amiruddin.

Pada PRU13 Parlimen Kuala Kedah dimenangi oleh PKR sementara kerusi DUN Anak Bukit, Kubang Rotan dan Pengkalan Kundur dimenangi oleh PAS.

Adun Pengkalan Kundur, Datuk Phahrolrazi Zawawi bagaimanapun telah menyertai PAN lebih awal selepas menubuhkan PASMA.

PAS dijangka akan meletakkan calonnya di semua tiga DUN dan Parlimen Kuala Kedah pada PRU14 kerana ia kerusi tradisi parti itu sebelum bergabung dengan Pakatan Rakyat pada PRU 2008.

Dalam hal ini pertembungan tiga penjuru atau empat penjuru tidak dapat dielakkan lagi di Kuala Kedah. Dalam kata lain Kuala Kedah dijangka menjadi medan tempur BN- PAS dan parti dalam Pakatan Harapan

Soal yang timbul sekarang adakah penyokong dan pengundi PAS di Kuala Kedah akan beralih menyokong calon PPBM dan PAN selepas wakil rakyat PAS itu yang melompat parti mahu   mempertahankan kerusi yang dimenangi mereka.

Penyokong pembangkang dijangka berpecah kerana ada di antara mereka akan kekal dengan parti lama PAS sementara yang lain akan mengikut atau melihat calon yang diketengahkan.

Bagi Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, Datuk Abdul Mutalib Harun, walau apapun parti yang dipilih oleh ADUN pembangkang di Kuala Kedah, mereka tetap pembangkang.

" Kita UMNO tetap dengan tugas membantu dan mendekati rakyat, tanpa memgambil kira 'fenomena baharu' dan varieti politik pembangkang Kuala Kedah, " katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau tumpuan UMNO/BN ialah untuk memenangi hati pengundi Kuala Kedah agar semua kerusi di dalam parti itu dikembalikan kepada BN.

" Penduduk Kuala Kedah kini sedar mereka telah lama merasa kerugian berada di dalam kawasan yang dikuasai pembangkang kerana tiada lagi peruntukan pembangunan, "ujar Mutalib.

Pada PRU 14, UMNO/BN Kuala Kedah dijangka bertembung dengan PAS serta salah satu daripada gabungan pembangkang - PKR, PPBM dan PAN. - Kedahnews.com

 

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com