Perkasakan Badan Pendidikan Sedia Ada - Mahdzir


ALOR SETAR - Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) dan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan perlu diperkasakan jika penubuhan Suruhanjaya Pendidikan, direalisasikan.

Menurut Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata peranan kedua-dua badan berkenaan perlu diperhalusi supaya selaras dengan dasar semasa.

"SPP sudah lama diwujudkan tetapi peranannya terhad kepada perkhidmatan perguruan sahaja.

"Maka, ia perlu dirombak semula dengan melihat aspek perkhidmatan seperti yang dilakukan sekarang dan sebagai penentu kepada pelaksanaan dasar pendidikan.

"Bagi Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan pula, ia sebagai penasihat kepada dasar pendidikan negara.

"Majlis ini boleh dikaji peranannya dengan diberi mandat yang lebih luas selain menasihati pelaksanaan dasar," katanya selepas menghadiri Kejohanan Bola Sepak Bawah 10 tahun Piala Menteri Pendidikan 2017 di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Terap, di sini, semalam.

Tambah beliau, pihaknya menyokong apa jua cadangan untuk memastikan perjalanan pembangunan pendidikan negara kekal konsisten serta sentiasa dipantau dari aspek kualiti dan pelaksanaannya.

Jelasnya, cadangan penubuhan Suruhanjaya Pendidikan oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) itu memerlukan kementeriannya berbincang dengan Kementerian Pendidikan Tinggi.

GPMS baru-baru ini mahu kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Pendidikan berikutan kebimbangan terhadap sistem pendidikan negara yang sering berubah.

Malah, cadangan itu disokong Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bagi memandu sistem pendidikan negara supaya lebih konsisten dan berada pada landasan yang tepat.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan bahawa dasar pendidikan sering berubah setiap kali menterinya berubah sehingga menjadikan anak murid umpama tikus makmal,Mahdzir berkata, pendidikan negara mempunyai dua perkara berbeza iaitu dasar dan pelaksanaan.

"Sebelum saya jadi Menteri Pendidikan, ada juga dasar yang diubah seperti Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) namun di separuh jalan, ia dimansuhkan...maka ia pernahlah berlaku.

"Bagaimanapun, apabila adanya Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, ia mempunyai hala tuju dan perancangan yang jelas.

"Setahu sayalah, sejak adanya pelan ini, tiada perubahan yang berlaku," ujarnya yang dipetik BH Online. -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com