Penyelam Jumpa Pakaian Mangsa Bunuh


SEREMBAN - Sehelai pakaian dipercayai milik mangsa antara objek ditemui polis sepanjang tempoh dua jam melakukan penyelaman di dalam Sungai Rantau berhampiran Pekan Rantau, kelmarin.

Usaha dilakukan bagi mencari bahan bukti penting yang dibuang suspek berhubung kes penculikan dan pembunuhan pemilik kedai cuci kereta B Sugumaran, 29, selepas mayatnya ditemui ditanam di tepi jalan di Jalan Siliau-Port Dickon, Sabtu lalu.

Sepasukan anggota polis dibantu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berada di lokasi bersama peralatan bagi tujuan menyelam sejak jam 10 pagi.


Menurut sumber, mereka melakukan selaman bermula dari tebing sungai berhampiran sebuah stesen minyak sebelum menyelam sehingga ke dasar sungai.

“Suspek yang ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan turut dibawa ke lokasi bagi menunjukkan tempat bahan bukti dibuang selepas mayat mangsa ditanam.

“Pencarian dilakukan sehingga jarak lima meter dari tebing sungai berkenaan. Anggota melakukan tugas menyelam selama dua jam sebelum menemui sehelai pakaian dipercayai milik mangsa dan diperlukan sebagai bukti siasatan kes,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, lapan individu termasuk seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan kes terbabit.

Menurutnya, semua suspek berusia antara 29 hingga 39 tahun terbabit ditahan secara berperingkat susulan laporan dibuat bapa saudara mangsa pada 23 September lalu.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com