Pengurusan Semula Kes Rasuah Guan Eng Ditetapkan 15 Mac Tahun Depan


ALOR SETAR - Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di Georgetown hari ini, menetapkan 15 Mac tahun hadapan sebagai tarikh pengurusan semula bagi dua kes rasuah yang membabitkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dengan seorang ahli perniagaan, Phang Li Koon.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail menetapkan tarikh itu selepas mengambil kira proses rayuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya.

"SPRM mengemukakan rayuan mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang menetapkan Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 sebagai tidak berperlembagaan.

"Mahkamah hanya akan menetapkan tarikh perbicaraan bagi kes ini sejurus rayuan SPRM di Mahkamah Persekutuan selesai," katanya.

Guan Eng yang diwakili peguam RSN Rayer sementara Phang yang diwakili Datuk V Sithambaram dilihat tidak hadir pada sesi pengurusan kes hari ini. 

Sementara itu, pasukan pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Rashid Daud.

Sithambaran memberitahu pihak pendakwaan telah mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Ogos lalu yang memutuskan bahawa Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 adalah bercanggah dengan perlembagaan.

Tambahnya, buat masa sekarang belum ada tarikh ditetapkan bagu rayuan itu didengarkan di Mahkamah Persekutuan.

"Sejurus selesai prosiding dan bicara berhubung rayuan tersebut di Mahkamah Persekutuan barulah mahkamah ini (Mahkamah Tinggi Pulau Pinang) akan memberikan tarikh perbicaraan baru berhubung kes rasuah ini," katanya.

Pada 7 Mac tahun ini, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak permohonan Lim dan Phang selepas memutuskan bahawa Seksyen 62 Akta SPRM adalah mengikut perlembagaan serta sah, kerana ia tidak menghalang hak tertuduh untuk mendapat perbicaraan secara adil.

Seksyen 62 Akta SPRM menyebut bahawa apabila telah berlaku penyerahan dokumen oleh pihak pendakwa mengikut Seksyan 51A Kanun Tatacara Jenayah, tertuduh perlu menyerahkan dokumen berikut kepada pihak pendakwa sebelum perbicaraan bermula:

(a)Suatu pernyataan pembelaan yang menyatakan secara am jenis pembelaan dan perkara-perkara mengenai pendakwaan yang dibantah oleh tertuduh, dengan menyatakan sebab-sebabnya; 

(b)suatu salinan mana-mana dokumen yang akan dikemukakan sebagai sebahagian daripada keterangan bagi pembelaan.

Lim dan Phang memfailkan permohonan itu pada Januari tahun ini.

Pada 30 Jun tahun lepas, Lim telah mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah dimana dia telah dikaitkan dengan penukaran status tanah daripada pertanian kepada perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Lim  turut didakwa menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam, iaitu ketua menteri Pulau Pinang, bagi mengaut keuntungan untuk diri sendiri dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan permohonan penukaran status tanah pertanian kepada kawasan perumahan awam di daerah barat daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Aras 28, Bangunan Komtar di George Town pada 18 Julai 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Lim menghadapi tuduhan kedua iaitu menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan bagi dirinya satu lot tanah dan sebuah banglo di No 25, Jalan Pinhorn, George Town pada 28 Julai 2015 daripada Phang pada harga RM2.8 juta, harga yang didakwa beliau ketahui tidak sepadan dengan nilai pasaran bagi hartanah berkenaan iaitu RM4.27 juta.

Tuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Phang mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan bersubahat dengan Lim bagi mendapatkan banglo itu di bawah harga pasaran. Dia dituduh melakukan kesalahan itu di tempat dan pada tarikh sama.

Tuduhan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama-sama Seksyen 165, memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Kedahnews.com


1 comment:

  1. Penat la..
    Lambat sungguh nk ke dalam..
    Tapi pasti Kot..

    ReplyDelete

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com