Pengemis Warga Asing Bijak Manipulasi Emosi Orang Ramai


KUALA LUMPUR – Isu kebanjiran pengemis warga asing terus membelenggu warga kota di ibu negara walaupun acap kali dibangkitkan dalam akhbar.

Walaupun pihak berkuasa tempatan (PBT) melancarkan beberapa siri operasi untuk membasmi golongan pengemis itu, namun masalah tersebut masih berlarutan sehingga sekarang.

Kebanyakan daripada kumpulan pengemis bijak memanipulasi sikap belas kasihan rakyat tempatan, selain pelancong asing yang datang ke tempat-tempat tum­puan ramai.

Tinjauan Utusan Malaysia di Masjid India, Masjid Jamek, Pasar Seni, Plaza Low Yat dan pusat beli-belah Pavillion di sini mendapati golongan pengemis masih meneruskan kegiatan memani­pulasi emosi serta sikap belas kasihan orang ramai untuk me­raih pendapatan secara mudah.

Pengemis-pengemis itu keba­nyakannya terdiri daripada wanita berumur dalam lingkungan 30 tahun ke atas sambil membawa bersama kanak-kanak, warga emas atau orang kurang upaya (OKU).

Menurut seorang pengemis wanita yang hanya dikenali sebagai Fatima, dia datang ke Masjid Jamek untuk meminta wang bagi membeli makanan anak kecilnya yang berumur kira-kira setahun.

Katanya, dia berasal dari Myan­mar dan merupakan etnik Rohingya yang menjadi mangsa kekejaman pemerintahan di sana.

“Saya baru setahun berada di sini dan hanya mahu mencari wang saku untuk makan. Saya tidak mengganggu orang lain,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga di kawasan berkenaan, Zulkifli Abd. Kadir, 80, berkata, keba­nyakan pengemis aktif bermula pukul 5 petang sehingga 12 tengah malam.

Katanya, golongan pengemis itu paling aktif pada hari Jumaat iaitu sebelum dan selepas umat Islam menunaikan solat di masjid.

“Mereka bijak meraih simpati orang ramai terutama pada hari Jumaat. Hari minggu pula kebia­saannya mereka aktif pada waktu petang hingga malam.

“Sepanjang saya berniaga di sini sejak 17 tahun lalu, pengemis-pengemis ini banyak menimbulkan masalah seperti membuang sampah merata-rata, bergaduh sesama mereka dan menimbulkan perasaan kurang selesa dalam kalangan pelanggan yang mahu membeli-belah di sini,” katanya.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com