Pengantin Di Yan Bersanding Pakai Baju Pengakap


ALOR SETAR - Memegang jawatan yang sama iaitu Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah Kuala Muda memberi inspirasi kepada pasangan pengantin dari Kampung Baru, Jalan Yan Guar Chempedak, untuk mengenakan busana bertemakan pengakap pada majlis perkahwinan mereka Sabtu lalu.

Mohd Yusri Yusof, 31, berkata, dia dan isteri sangat mencintai dunia pengakap kerana mereka juga berkenalan ketika menghadiri program pengakap sekitar 2013.

“Saya dan isteri mula berkecimpung dalam bidang pengakap ini sejak zaman persekolahan lagi,” katanya.

Dia yang juga Penolong Pegawai Teknologi Maklumat Sekolah Kebangsaan (SK) Ibrahim, Sungai Petani berkata, bidang pengakap ini masih lagi menjadi pilihan kerana minat yang begitu mendalam walaupun kini sudah mempunyai pekerjaan.

Isterinya, Rosnah Ariffin, 31, berkata, sememangnya angan-angannya adalah untuk melangsungkan perkahwinan dengan bertemakan uniform pengakap.

“Alhamdulilah, majlis kami berjalan lancar dan seramai 200 sahabat pengakap dari pelbagai daerah juga turut hadir bagi memeriahkan majlis perkahwinan kami,” katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com