Pengangkutan Awam Di Sempadan Jauh Bebankan Pelancong


ALOR SETAR- Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) fasa pertama yang baharu beroperasi 1 November lalu bertujuan untuk melancarkan urusan keluar masuk kenderaan di pintu sempadan difahamkan membebankan pelancong.

Ini ekoran daripada pengangkutan awam yang terletak agak jauh dari kompleks terbabit dilihat memberi kesulitan kepada pelancong.

Pemerhatian mendapati pelancong yang menggunakan kenderaan awam dari Thailand perlu berjalan kaki hampir 500 meter dari kompleks untuk mendapatkan perkhidmatan teksi yang beroperasi di hadapan Balai Polis Bukit Kayu Hitam.

Ahli Jawatankuasa Persatuan kereta Sewa Teksi Bukit Kayu Hitam, Pekan Changlun, Bandar Baru Sintok,Zainuddin Zakaria, 42, berkata, mereka sering mendengar keluhan pelancong yang terpaksa berjalan jauh untuk mendapatkan khidmat teksi.

"Pelancong dari China, Singapura,Indonesia depa selalu guna teksi nak pi lapangan terbang. Dengan bawa beg yang besar lagi, kalau hari hujan lagi susah, sebab sini tak ada bumbung nak jalan mai.

"Kalau ada yang ambil moto (perkhidmatan motosikal)dari Dannok pun sampai kat kompleks ICQS ni tak lepas masuk dah, mau tak mau pelancong kena jalan kaki juga," katanya.

Bukan itu sahaja, pelancong yang menaiki bas ekspres juga mengalami nasib yang sama apabila tidak dibenarkan menunggu di kawasan kompleks.

Seorang pemandu bas dari Klang yang dikenali sebagai Din berkata, dia menghantar penumpang di kompleks ICQS kira-kira jam 6 pagi dan akan ambil semula penumpang sekitar jam 12.30 tengah hari.

"Sebelum ini mana-mana bas ekspres boleh hantar penumpang terus ke Hadyai, tapi sekarang kami tak boleh masuk dah.

"Kat kompleks tu pun ada disediakan parkir bas, tapi kami tak dibenarkan guna. Jadi terpaksa berulang alik 14 kilometer setiap hari, dah la caj tol pun kena dua kali, rugi duit minyak lagi,"katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com