Penduduk Tempatan DUN Diberi Keutamaan Miliki Rumah PPR - Ahmad Bashah


ALOR SETAR -  Kerajaan negeri memberi jaminan akan memberi keutamaan kepada penduduk setempat di 36 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memiliki Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata,  kerajaan negeri sememang menyedari keperluan perumahan yang semakin meningkat dari semasa ke semasa dalam kalangan rakyat negeri ini.

"Kerajaan amat memahami mengenai keperluan perumahan bukan sahaja di negeri ini malah seluruh negara...sebab itu dari segi pembangunan rumah ini, kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri akan  memastikan rumah dibina ini mencukupi mengikut keperluan," katanya.

Beliau berkata ia merupakan hasrat kerajaan negeri agar setiap DUN di negeri ini mempunyai sekurang-kurangnya 500 hingga 600 rumah PPR pada masa akan datang.

Ahmad Bashah berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Nor Saidi Nanyan (BN-Kuah) dalam sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.

Nor Saidi sebelum ini mahu kerajaan memastikan agar PPR yang dibina di Pulau Langkawi hanya dikhususkan kepada penduduk yang layak di pulau bebas cukai itu.

Sementara itu Ahmad Bashah berkata, kerajaan bukan sahaja prihatin tentang keperluaan PPR, tetapi juga rumah PRIMA dan rumah untuk penjawat awam negeri. 

Dalam pada itu Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Badrul Hisham Hashim berkata kerajaan menetapkan harga rumah PPR dijual dengan harga RM35,000 seunit sedangkan kos sebenar rumah itu RM150,000.

Pemilik rumah berkenaan diberi subsidi RM115,000, kata Badrulhisham yang turut menjelaskan kos pembinaan perumahan di Pulau Langkawi lebih tinggi berbanding di  tanah besar.

Beliau juga menjelaskan,oleh kerana keperluan dan permintaan rumah di Langkawi kini amat tinggi, kerajaan mencadangkan agar tanah berstatus pertanian ditukar untuk projek perumahan. - Kedahnews.com 



No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com