Pendidikan Pra-Sekolah Akan Dirombak - Zahid


BAGAN DATUK - Kerajaan akan merombak sistem pendidikan pra-sekolah di negara ini termasuk menyelaras kurikulum dan sukatan pelajaran serta menetapkan had gaji minimum gurunya. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia termasuk mewajibkan semua bakal guru pra-sekolah menghadiri kursus jangka pendek sekurang-kurangnya tiga bulan bagi melayakkan mereka mengajar di sekolah berkenaan. 

Beliau berkata, ketika ini guru pra-sekolah diambil daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tiada latar belakang pedagogi dan pendidikan pengajaran. 

Katanya, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Sosial Negara yang dipengerusikannya kelmarin dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, diberi tanggungjawab menjadi penyelaras terhadap usaha itu. 

Beliau berkata, ia bertujuan untuk memberikan keberhasilan dalam pembentukan sahsiah atau personaliti kepada kanak-kanak sebelum memasuki alam persekolahan sebenar. 

"Ketika ini, pendidikan awal persekolahan yang dikenali juga sebagai pra-sekolah dikendalikan oleh Jabatan Pendidikan, Jabatan Perpaduan Negara, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan pihak swasta. 

"Jadi, ada kepelbagaian kurikulum, sukatan pelajaran dan skim gaji berbeza bergantung kepada pengusaha atau organisasi yang melaksanakan pendidikan pra-sekolah," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis pecah tanah Politeknik Bagan Datuk di sini semalam. 

Ahmad Zahid berkata, cadangan itu dikemukakan oleh jawatankuasa yang mengkaji penyelarasan pendidikan pra-sekolah kepada Majlis Sosial Negara, tertakluk kepada persetujuan bersama semua pihak yang mengendalikan pra-sekolah berkenaan. 

Beliau berkata, guru pra-sekolah perlu ditetapkan gaji minimum tersendiri selain gaji minimum yang ditetapkan Kementerian Sumber Manusia, agar ia tidak lagi dianggap sebagai pekerjaan sementara sebaliknya sebagai satu kerjaya pilihan. 

Katanya, usaha itu juga meliputi penyelarasan semua aktiviti termasuk sukan tahunan yang akan disertai oleh semua sekolah pra-sekolah agar ada interaksi semua kanak-kanak daripada pelbagai kaum, agama, keturunan dan latar belakang keluarga, di peringkat awal. 

Ditanya mengenai pra-sekolah elit termasuk sekolah antarabangsa yang mungkin tidak bersetuju kerana sudah mempunyai sukatan pelajaran sendiri, Ahmad Zahid berkata mereka harus mengikut garis minimum yang ditetapkan tetapi dibolehkan menetapkan piawaian dan standard lebih tinggi. 

Beliau berkata, pihaknya bersetuju melantik Institut Kajian Sosial sebagai sekretariat untuk melihat masalah sosial dan pendidikan pra-sekolah, kesan daripada cadangan penyelarasan itu.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com