Pelancong Mulai Banjiri Jeti Kuala Perlis, Kuala Kedah Ke Langkawi


ALOR SETAR – Pelancong dilihat sudah mula membanjiri jeti Jabatan Laut Perlis dan Kuala Kedah untuk menaiki feri ke pulau peranginan Langkawi sempena musim cuti persekolahan yang telah bermula Jumaat lepas.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Mat Hassan meminta pihak-pihak yang berkenan untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi kebanjiran pelancong terutama ketika musim cuti sekolah yang telah tiba ini.

“Pengusaha-pengusaha feri penumpang dan kenderaan, tempat letak kenderaan, hotel dan pengendali kedai makanan serta penyedia perkhidmatan lain harus bersedia memberi perkhidmatan terbaik,” katanya.

Beliau, yang juga Adun Kuala Perlis, mahu pengusaha feri penumpang dan feri membawa kenderaan memastikan feri mereka dalam berkeadaan baik dan selamat digunakan selain memastikan jadual perjalanan dipatuhi.

"Pengusaha tempat letak kereta pula hendaklah patuh arahan pihak berkuasa dan mengelak menjadi kawasan awam sebagai tempat meletak kereta yang menghalang lalu lintas.

“Peniaga kedai makanan dan kuih-kuih tradisional juga tidak wajar mengambil kesempatan menaikkan harga jualan mereka untuk meraih keuntungan besar yang akhirnya hanya memburukkan nama orang Perlis,” katanya.

Sementara itu, beliau turut meminta pelancong agar lebih sensitif dan tidak membuang sampah merata-rata bagi memastikan kawasan terminal feri penumpang sentiasa bersih dan kawasan sekitarnya terjaga.

“Saya yakin jika semua pihak tidak mementingkan diri, Kuala Perlis akan terus menjadi pilihan utama pelancong untuk menaiki feri ke Pulau Langkawi selain jarak perjalanannya lebih dekat berbanding melalui Kuala Kedah dan Pulau Pinang,” tambahnya.- Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com