PAS Kedah Dakwa Pembalakan Jadi Punca Banjir Lumpur


SIK - PAS Kedah mendakwa pembalakan yang dilakukan di negeri tersebut mendorong kepada berlakunya kejadian banjir kilat.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar ( Latas) PAS Pusat dan PAS Kedah memandang serius terhadap aktiviti pembalakan di kompartmen 12, 13,14 dan 15 Hutan Simpan Bukit Enggang.

Beliau mendakwa seluas 1000 hektar Hutan Simpan Bukit Enggang digondolkan bagi projek tanaman petai belalang dan Timber Latex Clon (TLC).

Perkara tersebut dikatakan terut mendorong kepada terjejasnya bekalan air bersih serta penyebab banjir lumpur bagi Kampung Balong Ayam, Kampung Chong, dan Kampung Durian Burung dalam Dun Belantik.

Pembalakan tersebut dilesenkan kerajaan negeri kepada Perbadanan Menteri Besar ( MBI) dan kontraktor projek terbabit adalah Jaentique Sdn Bhd.

Aktiviti sejak awal 2016 itu dijalankan di kompartment 13,14,dan 15 seluas 500 hektar sejak manakala baki 500 hektar dibuat di kompartment 12.

 Menurutnya, aktiviti itu mengancam kelestarian alam sekitar,  kehidupan manusia,  sumber bekalan air, dan mengakibatkan banjir lumpur dan kerosakan ekosistem.  

Tambahnya, beberapa kampung lain turut berpotensi mengalami masalah sama seperti tiga kampung terlibat banjir lumpur dan masalah bekalan air bersih.

"Kesan buruk daripada aktiviti penggondolan Bukit Enggang mula mengancam kehidupan penduduk sekitarnya.

"Latas difahamkan bahawa pembalakan tersebut berselindung di sebalik alasan pembangunan ladang hutan ganti dengan tanaman (TLC) dan pokok Albizia salah satu spesies balak cepat matang yang akan ditebang dalam tempoh beberapa tahun lagi," Katanya di dalam tinjauan di Bukit Enggang kelmarin.

Beliau yang juga merangkap Pengerusi Latas berkata, kesudahan kepada penggondolan Bukit Enggang ini adalah aktiviti pembalakan yang lebih kerap dan kehilangan hutan asli selama-lamanya.

Sementara itu, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah mengesahkan mengetahui aktiviti dijalankan di kawasan berkenaan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com